Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BBBF anjur Jualan Makanan Komuniti

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Forum Perniagaan Britain Brunei (BBBF) telah menganjurkan Jualan Makanan Komuniti di Kompleks Beli-belah Mabohai, kelmarin dan telah berjaya mengumpul $4,000 untuk Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA).

    Acara tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi BBBF, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dan Presiden YASKA, Dayang Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen, yang seterusnya melawat gerai jualan disertai oleh peniaga tempatan dan persendirian.

    Pengiran Aki Ismasufian menjelaskan acara tersebut menandakan Jualan Makanan Komuniti yang keempat dan berbesar hati untuk menyokong YASKA kali ini.

    Katanya lagi, “BBBF bukan sahaja menyediakan rangkaian perniagaan Britain dan Brunei tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk kami memberikan kembali kepada masyarakat melalui acara seumpama ini.

    “Ia bertujuan untuk membuat perubahan dalam kehidupan kanak-kanak yang menghadapi cabaran, di mana BBBF sebelum ini telah menyokong Pusat Ehsan, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAB) dan Demensia Brunei,” jelasnya.

    Presiden YASKA pula berterima kasih atas sokongan padu daripada masyarakat dan usaha BBBF serta Kompleks Membeli-belah Mabohai, yang mana sumbangan itu akan menyokong program mereka dan memberi keselesaan kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser.

    Acara tersebut turut menceriakan kanak-kanak YASKA dengan aktiviti kraf tangan seperti lukisan batu dan membuat gelang, di mana mereka telah diberikan bimbingan oleh sukarelawan dari Yayasan Seni Zakaria dan individu lain.

    Pengiran Aki Ismasufian dan Presiden YASKA merasmikan pelancaran dengan memotong reben. – GAMBAR SERAHAN BBBF
    GAMBAR SERAHAN BBBF

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda