BBBF serah hasil jualan amal kepada Pusat Ehsan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Forum Perniagaan British Brunei (BBBF) telah mendermakan hasil acara Charity Bake Sale yang dianjurkannya kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) pada majlis penyerahan yang berlangsung hari ini.

Pengerusi BBBF, Yvonne Kuan telah menyerahkan derma tersebut kepada Pemegang Amanah Eksekutif dan Operasi Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BBBF dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan.

Yvonne Kuan dalam ucapannya melahirkan perasaan bangga kerana dapat menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pusat Ehsan.

“Saya berharap sumbangan kami dapat menyokong organisasi mereka ketika mereka meneruskan usaha membantu individu berkeperluan khas di Brunei Darussalam.

“BBBF ingin mengucapkan terima kasih kepada organisasi-organisasi dan individu yang mengambil bahagian dalam Charity Bake Sale. Tanpa sokongan anda, acara tersebut tidak akan begitu berjaya,” tambah Yvonne lagi.

Yvonne Kuan menyerahkan hasil aktiviti jualan amal yang dianjurkan BBBF kepada Pengiran Datin Hajah Noraini.