BBC bakal beralih kepada operasi digital

LONDON, 27 MEI – British Broadcasting Corporation (BBC) akan mengurangkan 1,000 pekerja dan menamatkan beberapa penyiaran tradisional ketika ia mengutamakan operasi digital dan berdepan dengan pembekuan pembiayaan, kata penyiar perkhidmatan awam British semalam.

Dengan tujuan ‘membangunkan pertubuhan media perkhidmatan awam digital pertama,’ BBC berkata ia akan ‘berubah seiring dengan dunia moden, memberikan penonton isi kandungan yang dikehendaki mereka, dalam cara yang diingini mereka.’

Rangkaian itu akan mewujudkan saluran berita televisyen 24 jam di UK dan luar negara, sekali gus menyerap siaran BBC World.

Saluran termasuk siaran kanak-kanak CBBC, BBC Four dan Radio 4 Extra akan menghentikan siaran tradisional, sementara ‘beberapa’ perkhidmatan bahasa World Service akan berubah menjadi digital.

Ketua Pengarah Tim Davie semasa menyampaikan ucapan kepada kakitangan BBC semalam berkata bahawa beliau mengalu-alukan ‘pertubuhan media digital global baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Kami perlu berubah dengan lebih pantas dan beralih kepada pasaran yang berkembang pesat sekarang,” beritahunya kepada pekerja.

Fasa pertama perubahan yang dilaksanakan, termasuk pembuangan pekerja, akan menjimatkan £500 juta setahun, £200 juta akan membantu menghapus jurang pembiayaan berjumlah £285 juta berpunca daripada pembekuan bayaran lesen televisyen oleh kerajaan pada awal tahun ini.

“BBC juga akan melabur semula £300 juta untuk membiayai proses pendigitalan, menerusi perubahan dalam isi kandungan dan pengeluaran serta pendapatan komersial tambahan,” menurut kenyataan. – AFP