Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Ahli Jawatankuasa (AJK) Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG) yang baru dilantik, hari ini, telah mengadakan mesyuarat pertama mereka bagi tahun 2017 yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, Jalan Kebangsaan.
Kumpulan yang tidak berasaskan keuntungan itu ditubuhkan bagi memberi kesedaran, mendidik dan juga sebagai platform dalam membantu pesakit-pesakit yang mengalami barah payudara mempunyai sejarah pencapaian yang begitu lama dalam masyarakat.
Presiden kumpulan, Hajah Aminah binti Haji Momin menjelaskan kepada media bahawa sumbangan dan derma daripada orang ramai sangat dialu-alukan sebagai dana untuk membeli barangan dan peralatan penting untuk kesihatan dan kesejahteraan penghidap barah payudara.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa ‘Forum Perdana’ akan diadakan menandakan Sambutan ‘Hari Barah Sedunia’ pada 4 Februari 2017 di Pusat Kanser Brunei, Jerudong, di mana pameran dan jualan akan diadakan untuk mengutip dana barah payudara.

Naib Presiden BBCSG, Hajah Linda Aini binti Abdullah pula menambah bahawa bantuan daripada masyarakat dan ahli keluarga adalah penting untuk penghidap barah payudara.
“Taklimat dan pameran juga penting dalam kempen barah payudara bagi mendidik keluarga penghidap barah payudara dan orang ramai,” katanya
BBCSG secara berterusan memberi bantuan kepada penghidap barah payudara dan memberi kesedaran dalam beberapa isu berkaitan dengannya terutama pemeriksaan kesihatan dan bagaimana menangani penyakit melalui pameran dan taklimat kesedaran barah payudara pada Oktober setiap tahun,
Mesyuarat tahun ini membabitkan berbagai-bagai isu dalam agenda mereka untuk menyebarkan maklumat lebih baik dan aktiviti pendidikan untuk pengetahuan ramai, di samping itu membincangkan aktiviti jawatankuasa pentadbiran bagi tahun 2017-2019.