BBRS 2019 bermula hari ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Para penggemar aktiviti memerhati burung berpeluang untuk menguji kemahiran mereka dengan menyertai Perlumbaan Edisi Kedua Memerhati Burung Brunei Bersiri 2019 atau Brunei Bird Race Series (BBRS) 2019, iaitu Edisi Tasek Merimbun yang kini dibuka bagi penyertaan orang ramai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), perlumbaan dianjurkan oleh jabatan berkenaan dengan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan, persatuan dan syarikat swasta yang berkepentingan.

Kenyataan menyatakan bahawa penyertaan bagi BBRS 2019 Edisi Tasek Merimbun dibukakan secara dalam talian bermula esok (13 Julai) hingga 3 Ogos.

Penyertaan dibukakan kepada orang ramai yang berumur 12 tahun ke atas yang sihat tubuh badan, peminat pemerhati spesies burung, jurugambar atau para pencinta alam semula jadi yang berminat untuk mencuba aktiviti riadah memerhati dan mengambil foto spesies burung di Negara Brunei Darussalam.

BBRS 2019 Edisi Tasek Merimbun mempunyai kelainan daripada Edisi BSB yang hanya berlangsung selama empat jam, kerana perlumbaan kedua pada kali ini, akan diadakan dalam tempoh dua hari dan akan memberikan pengalaman para peserta untuk mengadakan aktiviti memerhati burung pada waktu malam di tempat laluan ‘hiking’ Taman Warisan Tasek Merimbun.

Antara tempat-tempat lain di sekitar Daerah Tutong termasuk dalam senarai lokasi pertandingan memerhati burung itu adalah di kawasan Bukit Udal, Kiudang, Tanjong Maya dan Sungai Tutong.

Acara pelepasan bagi perlumbaan edisi ke-2 itu dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos, pukul 2 petang dan akan disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Perlumbaan dijangka akan berakhir pada 4 Ogos pada kira-kira pukul 10.30 pagi dengan pendaftaran foto-foto para peserta di meja pendaftaran penutup bertempat di Hotel The Lanes, Pekan Tutong.

Pelbagai hadiah menarik yang berkaitan dengan aktiviti memerhati burung ditawarkan kepada para pemenang yang berjaya mengenal dan mengambil foto spesies burung yang terbanyak di dalam kawasan pertandingan dan masa yang telah ditetapkan.