Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    BCF iktiraf bakat pencipta kandungan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Bakat-bakat pencipta kandungan tempatan telah menerima pengiktirafan pada Anugerah Brunei Content Festival (BCF) 2023 kali ke-2 anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Radio Televisyen Brunei, Universiti Brunei Darussalam serta Progresif Media.

    Hadir selaku tetamu khas majlis yang berlangsung di Tarindak D’Seni di ibu negara malam kelmarin ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pengerusi AITI, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Anugerah BCF.

    Pada anugerah itu, sejumlah 131 penyertaan telah diterima dan 96 penyertaan telah terpilih kerana memenuhi kelayakan dan kriteria pertandingan. Jumlah penyertaan itu amat menggalakkan berbanding tahun lalu.

    Menurut kenyataan yang diberikan, anugerah merupakan satu platform yang mengiktiraf kandungan-kandungan tempatan sebagai usaha untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam pembuatan kandungan.

    Ia juga bertujuan untuk menggalakkan perkembangan dan pembuatan kandungan yang berkualiti tinggi serta berpotensi komersil yang boleh diedarkan dan disiarkan di platform televisyen atau perkhidmatan Over-the-Top (OTT).

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyampaikan anugerah kepada Awang A’aqil Ahmad yang memenangi anugerah dalam Kategori Terbuka bagi Identiti Brunei Terbaik menerusi kandungan bertajuk Merdeka. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyampaikan hadiah kepada Awang Shafiee Mostar yang memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada majlis tersebut. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Eksekutif, AITI, Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar, diikuti dengan laporan penghakiman oleh Dayang Nurain binti Abdullah selaku ketua juri.

    BCF yang dibuka dari 15 Mei sehingga 23 Jun 2023 itu menampilkan dua kategori pertandingan iaitu Kategori Industri yang dibukakan bagi syarikat produksi tempatan dan turut mengetengahkan anugerah bagi Drama Terbaik, Komedi Terbaik, Seram Terbaik dan Iklan Terbaik.

    Kategori Industri bagi Drama Terbaik telah dimenangi oleh Lailatul Shazanas Studio dengan drama berjudul I want to Be # Femes manakala Komedi Terbaik dimenangi oleh Bruhaha Comedy Productions dengan karya The Headliners dan bagi Seram Terbaik disandang oleh Visionary Project Film dengan kandungan bertajuk Selamat Malam 2022 diikuti dengan anugerah Iklan Terbaik yang dimenangi oleh Nadzri Presents Enterprise melalui Triple Cheeseburger.

    Dalam Kategori Terbuka anugerah bagi Identiti Brunei Terbaik menjadi milik Awang A’aqiil Ahmad menerusi kandungan bertajuk Merdeka, manakala bagi anugerah Filem Pendek Terbaik dimiliki oleh Dayang Wardah Hakimah binti Haji Gulihana dengan kandungan berjudul Cinta dan Harapan.

    Bagi Video Muzik Terbaik pula, pemenangnya ialah Awang Muhammad Adam Chong menerusi video muzik Leka nyanyian Fauzan dan Fathin AMJ diikuti anugerah Filem Pendek Terbaik Institut Pengajian Tinggi yang disandang oleh Universiti Brunei Darussalam menerusi Nilai Part 1.

    Pemenang-pemenang bagi Kategori Industri dan Terbuka telah menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak $2,000 manakala pemenang-pemenang Anugerah Juri pula telah menerima sebuah trofi, sijil penghargaan serta wang tunai sebanyak $500.

    Sementara itu, para pemenang bagi Anugerah Juri Sinematografi Terbaik disandang oleh Sampul manakala anugerah Editing Terbaik menjadi milik Fasa diikuti Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi Awang Shafiee Mostar dan Anugerah Pelakon Perempuan Terbaik ialah Dayang Nabilah Hamid.

    Pemenang Anugerah Juri bagi Pengarah Terbaik pula dimenangi Awang Mui’z Bakar menerusi muzik video Alamat Hati. Sementara itu, Anugerah Juri bagi Konsep Terbaik dimenangi oleh Mari Iski Bercerita dan Konten Media Sosial Terbaik dianugerahkan kepada Awang Azim Ghani Mercedes oleh Swanz dan Troqy serta Persembahan Terbaik pula dianugerahkan kepada video muzik Gurindam oleh Masita Tamil.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...