SIBU, 23 Julai – Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2017 bukan sekadar arena bagi menunjukkan kebudayaan masyarakat setempat kepada pelancong asing, malah ia boleh dijadikan platform bagi memberi pendedahan dan pendidikan tentang perpaduan penduduk pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pesta sebegini menunjukkan bahawa rakyat boleh hidup bersatu padu dan mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain.
“Inilah tempat yang paling tepat untuk memberikan pendedahan dan pendidikan kepada golongan belia khususnya yang belum memahami pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya semasa merasmikan Pentas Kebudayaan Dayak di tapak BCF 2017 di Dataran Bandar Sibu malam tadi.
Katanya, rakyat Sarawak benar-benar bangga dengan kekayaan pelbagai kaum di negeri ini dan memelihara perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama.

Ini diakui oleh pemimpin dari negeri-negeri lain di negara ini yang mengakui secara terbuka mahu mencontohi tauladan yang ditunjukkan oleh rakyat Sarawak dalam memelihara perpaduan dalam kalangan mereka.
Pentas Kebudayaan Dayak menampilkan pelbagai pertunjukan kebudayaan masyarakat Dayak yang terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh serta Orang Ulu dan merupakan sebahagian daripada pengisian BCF 2017 selain Pentas Kebudayaan Melayu/Melanau dan Pentas Kebudayaan Cina.
Pesta kali ke-14 itu bermula dari 20 hingga 29 Julai turut dimeriahkan lagi dengan pembukaan gerai-gerai makanan dan pakaian tradisi masyarakat setempat. – Bernama