BCIC ke-3 berakhir, dua pasukan raih keuntungan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Cabaran Pelaburan Baiduri Capital (BCIC) ke-3 berakhir dengan majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, Jalan Gadong, hari ini.

Dalam cabaran berkenaan, dua pasukan telah melepasi jangkaan mereka dan memperoleh keuntungan pada akhir cabaran itu di mana Pasukan Harvest Capital dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) berjaya menghasilkan keuntungan sebanyak $4,968 manakala Pasukan Investscape dari Politeknik Brunei berjaya menghasilkan keuntungan sebanyak $720.60.

Hadir pada majlis penyampaian hadiah berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Perniagaan, Pengiran Azaleen bin DP Haji Mustapha, Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon, pegawai-pegawai Baiduri Capital serta pasukan-pasukan yang menyertai cabaran berkenaan.

Pada majlis berkenaan, Peng Eng Soon menyampaikan hadiah kepada Pasukan Harvest Capital dan Pasukan Investscape serta sijil penyertaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam cabaran berkenaan.

Peng Eng Soon dipetik menyatakan bahawa cabaran tersebut bermatlamat untuk memupuk kesedaran dan menjana minat dalam pelaburan kewangan serta pasaran modal.

Peng Eng Soon menyampaikan hadiah kepada Pasukan Harvest Capital pada Majlis Penyampaian Hadiah BCIC yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin.

Jelasnya lagi, cabaran berkenaan merupakan kali ketiga diadakan, yang mana ia menerima maklum balas yang menggalakkan daripada para peserta.

Para peserta menyatakan bahawa cabaran itu amat berguna bagi mereka di mana ia memberikan peluang kepada mereka untuk mendapat akses kepada platform digital Baiduri Capital serta memberikan peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam bilik darjah dan melakukan penyelidikan mereka secara
praktikal.

Pada masa yang sama, Peng Eng Soon menyatakan bahawa cabaran itu memberikan peluang kepada para peserta merasa sendiri pengalaman dagangan yang sebenar dan meraih ganjaran daripada dagangan berkenaan.

Ketua Pasukan Pelaburan Capital, Dayang Nur Haziqah Jahirah binti Osman menyatakan bahawa pasukan meraih pengalaman yang amat berguna serta mempelajari perlunya bagi mereka untuk tabah dalam mempunyai keputusan di mana kurang ketabahan dalam membuat keputusan pada awal cabaran berkenaan menyaksikan mereka hanya memperoleh keuntungan yang kecil sahaja.

Beliau berkata lagi, daripada permulaan yang kurang memberangsangkan itu, mereka tekun melaksanakan penyelidikan dan memperoleh pelaburan dalam syarikat yang mereka benar-benar inginkan.

Hasil daripada bimbingan dan maklumat yang diperoleh daripada mentor, mereka dengan penuh yakin membuat pelaburan dan sebuah syarikat berkenaan di mana ia memberikan mereka keuntungan yang amat berbaloi.

Manakala itu, Ketua Pasukan Investscape, Awang Mohammad Iqbal bin Haji Fikri menyatakan bahawa cabaran pelaburan itu mengajar mereka pentingnya untuk membuat penyelidikan yang terperinci mengenai pilihan pelaburan dan pada masa yang sama, peka untuk melihat pergerakan dalam pasaran saham.

Sepanjang cabaran itu, para peserta diberikan akses langsung kepada pedagang berlesen yang bertindak sebagai mentor dan memberikan pandangan yang berharga serta nasihat mengenai dunia perdagangan dan pelaburan.