BCP pastikan kelangsungan operasi jika berlaku penularan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Perlaksanaan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) pada masa fasa peralihan dan fasa endemik nanti, masih diteruskan dalam memastikan
sesuatu pejabat atau perniagaan itu masih dapat beroperasi seperti biasa apabila berlaku penularan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan media mengenai BCP apabila masuk pada fasa peralihan nanti.

Semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, beliau menjelaskan, untuk peringkat awal fasa peralihan, perlaksanaan BCP masih diteruskan dan keadaan berkenaan akan dilihat pada situasi akan datang sama ada ia masih diperlukan atau tidak.

Tapi untuk situasi pada masa ini, jelasnya, BCP akan diteruskan sehingga fasa awal endemik nanti.

Beliau seterusnya menjelaskan mengenai kapasiti di pejabat yang dihadkan kepada 50 peratus dan ini bergantung kepada keluasan dan cara operasi yang dilaksanakan oleh pejabat dan perniagaan tersebut.

“Ini adalah untuk memastikan kakitangan atau pekerja membuat penjarakan dan sebagainya,” jelas beliau.

Katanya lagi, perlaksanaan bukan saja tertumpu di sektor kerajaan tetapi ia juga perlu dilaksanakan oleh semua pihak dan perniagaan.

“BCP ini adalah untuk memastikan pejabat atau perniagaan tersebut masih dapat beroperasi seperti biasa jika berlaku penularan di fasa peralihan dan fasa endemik nanti,” tegasnya.