Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, ahli-ahli Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) turut memeriahkan suasana Aidilfitri dengan berkunjung rumah Yang Di-Pertua BDARA, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit di Jalan Permaisuara, Kampung Beribi.
Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Yang Di-Pertua BDARA, Haji Tamat bin Haji Lampoh itu merupakan salah satu kegiatan tahunan Persekutuan BDARA pada tiap-tiap bulan Syawal.
Ia bertujuan bagi mengeratkan silaturahim di kalangan ahli BDARA dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi BDARA.
Dalam perkembangan lain, bermula 14 Jun hingga Oktober 2018 ini, pihak Persekutuan BDARA bersama 30 buah negara APEC akan meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan ‘International Amatur Radio Union Region 3’ (IARU Rg3) melalui udara dengan menggunakan callsign V850IARU.
Setiap operator radio amatur di seluruh dunia akan dapat berhubung bersama 30 buah stesen negara-negara lain yang sama-sama meraikan acara istimewa yang juga akan mendapat anugerah dari IARU RG 3.
Sementara pada Oktober ini, persekutuan tersebut akan menghantar delegasi ke Jogjakarta, Indonesia untuk menghadiri Persidangan SEANET 2018.