OIeh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Bagi menjayakan Larian Hari Kebangsaan 2017 yang berlangsung di ibu negara pagi tadi, sembilan orang ahli Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) memberikan sokongan perhubungan kepada jawatankuasa larian berkenaan.
Delegasi BDARA berkenaan telah diketuai oleh Timbalan Yang Di-Pertua BDARA, Mejar (B) Haji Tamat Lampoh.
Dalam pada itu, BDARA turut memaklumkan bahawa pada masa ini mereka juga mengendalikan kelas bagi belia-belia yang ingin mengambil peperiksaan untuk mendapatkan lesen radio amatur yang dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Industri Info-Komunikasi dan Teknologi Brunei Darussalam (AITI) sepanjang tahun 2017.
Persekutuan berkenaan berharap belia-belia negara yang mempunyai minat supaya menceburi hobi berkenaan untuk menabur hikmat bakti kepada negara dan memperkenalkan Negara Brunei Darussalam ke seluruh dunia melalui radio amatur. BDARA merupakan salah sebuah organisasi tidak mengaut keuntungan di Negara Brunei Darussalam yang telah bergiat aktif sejak tahun 2008 apabila ia diaktifkan semula oleh ahli-ahli jawatankuasa yang baru menerajuinya.

Persekutuan berkenaan juga bergiat aktif dalam kerja kemasyarakatan dan membantu pihak jabatan-jabatan kerajaan dan swasta dalam memberi bantuan perhubungan semasa menjalankan kerja amal seperti larian amal dan aktiviti yang memerlukan bantuan perhubungan.
BDARA juga merupakan salah sebuah pertubuhan yang bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dalam sama-sama menangani bencana alam jika berlaku kecemasan. BDARA mempunyai 60 orang ahli yang hampir keseluruhannya terdiri daripada orang dewasa dan sebahagiannya bekerja dengan jabatan kerajaan selain swasta dan pesara.