Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Dengan matlamat untuk terus membarigakan mengenai peranan dan tanggungjawabnya sebagai bank pusat negara serta melengkapkan para pelajar dengan kemahiran pengurusan kewangan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengadakan Jerayawara Celik Kewangan di Sekolah Rendah Keriam Tutong, kelmarin.
Lebih 170 orang pelajar Kelas Pra hingga Tahun 6 dari sekolah tersebut telah menyertai aktiviti-aktiviti interaktif yang dianjurkan oleh BDCB, Bank Baiduri, Bank Standard Chartered (StanChart), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan Cyber Security Brunel (CSB).
Jerayawara berkenaan juga mengetengahkan mengenai produk dan perkhidmatan kewangan yang tersedia di pasaran Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, penyertaan CSB juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pelajar tentang kepentingan keselamatan dalam talian, risiko-risiko yang berkaitan dengan teknologi digital, serta menggalakkan para pelajar untuk menggunakan Internet, terutamanya media sosial, secara bertanggungjawab.
Salah satu pengisian menarik adalah perlaksanaan Program Menukar Duit Syiling yang dikendalikan oleh BDCB bagi membolehkan para guru dan pelajar untuk menukar duit syiling mereka kepada mata wang polimer.
Oleh yang demikian, BDCB juga mengalu-alukan mana-mana organisasi atau institusi yang berminat untuk menjemput BDCB bagi mengadakan jerayawara atau acara-acara kesedaran dengan menghubungi BDCB melalui e-mel info@bdcb.gov.bn atau talian 8318388.