BDCB dan CSB jalin kerjasama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) dan Cyber Security Brunei (CSB) hari ini, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengesahkan dan merasmikan usaha padu dalam bidang keselamatan.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, MoU tersebut menzahirkan komitmen kedua-dua agensi yang akan menubuhkan mekanisme perkongsian maklumat bagi ancaman dan risiko siber, serta menyelaraskan pertukaran maklumat bagi perisikan jenayah siber dan prosedur pelaporan insiden.

Kedua-dua agensi juga bersetuju untuk bekerjasama dalam meningkatkan pendidikan keselamatan siber, pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia, kerjasama teknikal dan inisiatif-inisiatif Iain berkaitan keselamatan siber.

Menandatangani MoU tersebut bagi pihak BDCB ialah Pengarah Urusan, Hajah Rokiah binti Haji Badar, manakala itu, CSB diwakili oleh Pesuruhjaya Interim, Awang Shamsul Bahri bin Haji Khamis.

Semasa acara tersebut, Hajah Rokiah menyatakan kepentingan kerjasama dua hala berkenaan untuk memastikan kedayatahanan siber sektor kewangan negara, memandangkan peningkatan dalam penggunaan produk dan perkhidmatan kewangan secara digital, dan serangan siber yang semakin biasa terjadi dan lebih canggih.

Awang Shamsul Bahri juga mengongsikan sentimen yang sama di mana beliau merakamkan harapan atas komitmen BDCB, sebagai bank pusat negara yang merupakan sebuah infrastruktur maklumat kritikal, terhadap keselamatan siber.

Turut hadir pada acara yang dijalankan secara maya itu ialah pengurus-pengurus kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), BDCB dan CSB.

Hajah Rokiah dan Awang Shamsul Bahri menunjukkan dokuman MoU yang dimeterai pada majlis secara maya itu.- Gambar serahan BDCB