BDCB lanjutkan pemberian bantuan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) memaklumkan bahawa pemberian bantuan yang ditawarkan oleh sektor perbankan kepada peniaga-peniaga dan individu yang terkesan akibat wabak COVID-19 akan dilanjutkan tempohnya hingga 31 Disember 2021.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, hari ini, sejak 1 April 2020, bank-bank dan syarikat kewangan telah menawarkan beberapa jenis bantuan bagi meringankan kesulitan kewangan yang dihadapi oleh peminjam.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi tempoh 1 April 2020 hingga 31 Disember 2020, sebanyak 2,014 permohonan telah diberikan bantuan dan 436 permohonan telah diberikan bantuan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 30 Jun 2021.

Sebilangan besar telah memilih bantuan berbentuk penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan buat sementara waktu (temporary deferment).

Dengan lanjutan pemberian bantuan itu, BDCB akan terus memberikan kelonggaran terhadap beberapa peraturan perbankan bagi menggalakkan bank-bank dan syarikat kewangan untuk menawarkan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam yang terkesan, tertakluk kepada penilaian pihak bank-bank dan syarikat kewangan.

Bank-bank dan syarikat kewangan juga tidak akan mengenakan bayaran dan caj bank kecuali caj pihak ketiga bagi transaksi-transaksi yang berkaitan.

Jenis-jenis bantuan interim yang dimaksudkan adalah penangguhan pembayaran balik kemudahan pinjaman atau pembiayaan, penstrukturan semula kemudahan pinjaman atau pembiayaan peribadi dan kemudahan sewa beli seperti pembiayaan kenderaan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun serta penukaran baki kad kredit kepada pinjaman atau pembiayaan berjangka pendek (short term loan) selama tempoh tidak melebihi tiga tahun bagi individu-individu yang terkesan di sektor swasta sahaja termasuk mereka yang bekerja sendiri (self-employed).

Dengan penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, bank-bank dan syarikat kewangan juga akan berusaha untuk memenuhi keperluan kecairan peniaga-peniaga yang terkesan melalui kemudahan pinjaman jangka masa pendek, tertakluk kepada penilaian masing-masing.

Bank-bank juga akan melanjutkan pengecualian pembayaran yuran dan caj kecuali caj pihak ketiga, bagi sebarang pemindahan wang antara bank-bank domestik secara dalam talian untuk semua pelanggan bank hingga 31 Disember 2021.

Dalam kesempatan itu, BDCB dalam kenyataannya lagi, menasihatkan para peminjam untuk mempertimbangkan jenis-jenis bantuan yang ditawarkan. Walaupun peminjam diberi pilihan untuk menangguhkan pembayaran balik bulanan, faedah mungkin terus bertambah bagi jumlah pinjaman atau pembiayaan yang ditangguhkan.

Sebarang pinjaman tambahan juga akan mempunyai kos tambahan melalui caj faedah yang dikenakan.

Oleh yang demikian, peminjam disarankan untuk mempertimbangkan terlebih dahulu jika bantuan benar-benar diperlukan dan untuk mendapatkan maklumat dari bank dan syarikat kewangan mengenai pilihan yang ada serta kesesuaian pilihan yang ditawarkan.

Peminjam yang berupaya untuk meneruskan pembayaran kemudahan pinjaman atau pembiayaan secara penuh adalah digalakkan untuk meneruskan pembayaran tersebut untuk mengelakkan hutang-piutang terkumpul.

BDCB dalam kenyataannya lagi, memberi jaminan kepada orang ramai bahawa sektor perbankan di Negara Brunei Darussalam adalah kekal berdaya tahan, kukuh dan mempunyai dana modal yang mencukupi.

BDCB akan terus memantau kedayatahanan sektor perbankan termasuk bantuan yang dihulurkan pada tempoh bantuan tersebut. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi bank-bank atau syarikat kewangan secara langsung atau BDCB di talian 8318388 atau [email protected]