Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDCB lulus lesen MoneyMatch Brunei

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Fasa pengujian Syarikat MoneyMatch Brunei (MMB Transfer Sdn Bhd) di dalam BDCB FinTech Regulatory Sandbox telah tamat pada 31 Julai 2024 dan berikutan itu, syarikat berkenaan akan dilesenkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bermula 1 Ogos 2024.

    BDCB dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan MMB Transfer Sdn Bhd mula menguji aktiviti kiriman wang rentas sempadan secara digital di dalam sandbox pada 20 Mei 2019.

    MMB Transfer Sdn Bhd seterusnya menguji teknologi pendaftaran digital bagi pelanggan pada Disember 2020.

    BDCB menerangkan bahawa FinTech Regulatory Sandbox telah dilancarkan pada 27 Februari 2017 untuk memudahkan pembangunan teknologi kewangan ataupun FinTech di Negara Brunei Darussalam.

    Sandbox berkenaan memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang berkelayakan untuk menawarkan produk FinTech untuk menguji produk dan perkhidmatan FinTech dalam persekitaran pengawalseliaan yang fleksibel dalam tempoh masa serta parameter yang dipersetujui.

    Jenis produk dari perkhidmatan FinTech yang boleh diuji melalui sandbox berkenaan termasuk aktiviti-aktiviti perbankan, insurans atau takaful, pasaran modal atau produk serta perkhidmatan kewangan yang inovatif di bawah bidang kuasa pengawalseliaan BDCB yang berpotensi untuk memberikan manfaat kepada pengguna kewangan.

    Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai garis panduan FinTech Regulatory Sandbox serta proses dan keperluan bagi pengujian, boleh melayari laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    GAMBAR FAIL MEDIA PERMATA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda