Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) untuk Negara Brunei Darussalam bagi Disember 2021 yang berdasarkan kaji selidik yang disertai oleh perniagaan-perniagaan terpilih daripada pelbagai saiz termasuk mikro, kecil, sederhana dan besar dari kesemua daerah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, hari ini, indeks yang diterbitkan itu bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan-perniagaan di negara ini dan mengandungi soalan-soalan am yang berkaitan dengan keadaan serta jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, jumlah pekerja dan kos menjalankan perniagaan.
Kenyataan menyatakan bahawa memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks itu digunakan sebagai salah satu petunjuk makroekonomi.
BDCB menjelaskan, terdapat sembilan sub-indeks dalam BSI dan bagi Disember 2021, sub-indeks keadaan perniagaan yang dianggap sebagai indeks utama BSI adalah pada kadar 50.3.
Setelah indeks itu mencatatkan penguncupan pada September 2021, optimisme mula mengembang bagi kali ketiga pada Disember 2021 dengan kebanyakan sektor merekodkan sentimen yang positif.
Sejak gelombang kedua wabak COVID-19 pada Ogos 2021, perniagaan-perniagaan telah menghadapi pelbagai cabaran dan gangguan kepada operasi mereka. Melihat ke hadapan, perniagaan-perniagaan secara amnya adalah lebih optimistik di mana indeks bagi satu bulan ke hadapan adalah 50.4 dengan kebanyakan sektor berpandangan bahawa aktiviti perniagaan akan meningkat dengan bermulanya Fasa Peralihan pada November 2021 dan pelonggaran langkah-langkah kawalan COVID-19.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa sub-indeks pelaburan adalah pada kadar 50 bagi Disember 2021 berbanding dengan 49.9 bagi November 2021, 50.3 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.6 bagi tiga bulan berikutnya. Dapatan itu menunjukkan bahawa sektor swasta pada amnya telah mengalami peningkatan dalam pelaburan bagi Disember 2021 berbanding November 2021.
Sehubungan itu, perniagaan juga telah menyatakan pelan untuk meningkatkan pelaburan pada Januari 2022 dan dalam jangka masa tiga bulan kemudian, selaras dengan harapan mereka bahawa Fasa Endemik akan memacu pertumbuhan projek-projek dan aktiviti-aktiviti perniagaan.
Sub-indeks pengambilan pekerja pula adalah pada kadar 50.5 bagi Disember 2021 dan 50.1 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan pengambilan pekerja baharu pada Disember 2021 dan juga rancangan untuk meningkatkan lagi pengambilan pekerja dalam sektor swasta secara amnya pada Januari 2022.
Perniagaan-perniagaan juga menyatakan bahawa kadar pemberhentian kerja yang tinggi dalam sektor swasta telah meningkatkan keperluan pengambilan pekerja baharu, terutamanya pekerja-pekerja separuh masa, untuk menampung peningkatan aktiviti-aktiviti perniagaan pada Disember 2021. Seperti pada November 2021, perniagaan-perniagaan secara amnya telah menyatakan cabaran yang dialami dalam pengambilan tenaga kerja asing di mana kebanyakan mereka telah pulang ke negara asal dengan penamatan tempoh kontrak. Bagi menyelesaikan isu kekurangan pekerja, beberapa perniagaan juga telah mengongsikan cabaran yang dialami dalam pengambilan dan pengekalan tenaga kerja tempatan.
Sementara itu, sub-indeks kos adalah pada kadar 50.4 bagi Disember 2021 dan 50.2 bagi Januari 2022 di mana ia menunjukkan bahawa perniagaan-perniagaan telah mengambil peningkatan kos dalam menjalankan perniagaan mereka bagi Disember 2021 berbanding November 2021.
Perniagaan juga menjangkakan peningkatan kos yang berterusan pada Januari 2022 di mana secara amnya, jangkaan peningkatan kos perniagaan itu adalah selaras dengan pengambilan pekerja baharu pada bulan-bulan akan datang, pembayaran bonus hujung tahun pekerja, pembelian tiket penerbangan balik bagi pekerja-pekerja yang telah mansuh kontrak, kenaikan kos bahan mentah serta kos penghantaran.
Dari segi sektor ekonomi, sentimen optimistik telah dicatatkan dalam tujuh daripada 11 buah sektor ekonomi bagi Disember 2021 terutama sekali sektor pengangkutan dan komunikasi (50.6), pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan (50.6), hotel dan restoran (50.5), kewangan dan insurans (50.4) serta kesihatan dan pendidikan (50.2).
Kenyataan menjelaskan bahawa antara sebab-sebab yang diberikan termasuk peningkatan dalam permintaan, kenaikan dalam kadar vaksinasi di kalangan penduduk dan peningkatan dalam aktiviti-aktiviti perniagaan seperti dine-in yang dijangkakan dalam Fasa Awal Endemik.
Sektor perkhidmatan lain (49.9) menunjukkan penurunan dalam aktiviti-aktiviti perniagaan pada hujung tahun. Pada bulan yang sama, sektor pembinaan iaitu 49.5, juga kekal pesimistik dengan ketiadaan projek-projek yang baharu.
Sektor harta tanah dan pemilikan kediaman mencatatkan sentimen yang sama seperti November 2021 iaitu 50, dengan ketidaktentuan yang masih dialami disebabkan pandemik.
Keterangan bagi nilai indeks berkenaan ialah bagi nilai BSI 50 ke atas, ia menunjukkan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya, serta bagi nilai BSI 50 ke bawah, ia menunjukkan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding bulan sebelumnya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, mereka boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman sesawang BDCB, https://www.bdcb.gov.bn dan mengikuti perkemba-ngan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun instagram BDCB@centralbank.brunei.