BDCB terbitkan BSI bagi november

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), hari ini, telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) yang pertama untuk Negara Brunei Darussalam bagi November 2021.

Menurut kenyataan BDCB, indeks tersebut adalah berdasarkan kaji selidik yang disertai oleh perniagaan-perniagaan pelbagai saiz termasuk mikro, kecil, sederhana dan besar yang dipilih dari kesemua sektor ekonomi dalam negara.

Projek BSI berkenaan telah bermula sejak Ogos 2020, di mana perniagaan-perniagaan yang terpilih telah ikut serta dalam kaji selidik ini secara berterusan.

BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan-perniagaan di Negara Brunei Darussalam. BSI juga menilai iklim perniagaan bagi sektor swasta secara keseluruhan dan juga iklim di dalam setiap sektor tersebut. Oleh itu, BSI boleh digunakan sebagai petunjuk makro bagi mengukur pertumbuhan ekonomi yang juga mempunyai ciri-ciri yang berpandangan ke hadapan.

BSI adalah berdasarkan data dari kaji selidik yang dikendalikan terhadap perniagaan-perniagaan melalui soalan-soalan yang berkaitan dengan keadaan dan jangkaan iklim perniagaan, pelaburan, pekerjaan dan kos untuk menjalankan perniagaan. Lebih kurang 600 perniagaan daripada 11 sektor ekonomi tempatan telah dikenal pasti untuk menyertai kaji selidik ini.

Gambar menunjukkan rajah BSI mengikut sektor ekonomi bagi Ogos 2020 hingga November 2021. – Gambar serahan BDCB

Menurut BDCB, keterangan indeks dengan nilai BSI atas 50 merujuk kepada keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding bulan sebelumnya dan bagi nilai BSI 50 pula bermaksud keadaan lebih kurang sama berbanding bulan sebelumnya. Nilai BSI bawah 50 menjelaskan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

Terdapat sembilan sub-indeks dalam BSI dengan sub-indeks Keadaan Perniagaan, yang dianggap sebagai indeks utama BSI, adalah 50.1 pada November 2021. Ini merupakan kenaikan kali kedua sejak Oktober setelah merekodkan penurunan pada September lalu.

Walau bagaimanapun, kenaikan ini adalah tidak menyeluruh bagi semua sektor dan masih terdapat ketidaktentuan sejak mulanya gelombang kedua wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada awal Ogos lalu.

Manakala sub-indeks Pelaburan adalah 49.9 bagi November 2021, 50 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.6 untuk tiga bulan berikutnya. Ini menunjukkan bahawa sektor swasta pada amnya telah mengalami penurunan pelaburan.

Walaupun para peniaga tidak membuat perancangan untuk meningkatkan pelaburan bagi bulan Disember, mereka menjangkakan pelaburan akan meningkat pada bulan Februari 2022.

Disamping itu, sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50 untuk November 2021 dan 50.5 bagi satu bulan ke hadapan. Ini menunjukkan bahawa sektor swasta secara amnya tidak mengambil pekerja baharu bagi November 2021 dan akan meningkatkan pengambilan pekerja pada Disember 2021.

Bagi maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai bolehlah merujuk nota teknikal mengenai metodologi dan statistik, termasuk carta untuk BSI dan sub-indeksnya sejak Ogos 2020, dari laman sesawang dan akaun Instagram BDCB.