Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    BDCB terbitkan BSI Mac 2022

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) untuk Negara Brunei Darussalam bagi Mac 2022.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BDCB di sini, hari ini, indeks itu adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari kesemua empat buah daerah di Negara Brunei Darussalam.

    BSI antara lainnya bertujuan untuk mengukur tahap keyakinan atau sentimen perniagaan-perniagaan di negara ini dengan mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, jumlah pengambilan pekerja serta kos menjalankan perniagaan.

    Memandangkan indeks itu menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, ia juga boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk makroekonomi.

    Terdapat sembilan sub-indeks dalam BSI di mana Sub-Indeks Keadaan Perniagaan, yang merupakan indeks utama BSI adalah 50.3 bagi Mac 2022 di mana ia merupakan kenaikan bagi bulan keenam berturut-turut sejak Oktober 2021, lebih tinggi daripada 50.1 yang dicatat pada Februari 2022.

    Perniagaan-perniagaan yang bersentimen optimistik mengongsi beberapa faktor seperti peningkatan dalam harga minyak, aktiviti perniagaan, permintaan daripada sektor kerajaan dan orang ramai dan lebih banyak projek berbanding dengan bulan Februari.

    Walau bagaimanapun, beberapa perniagaan telah mencatatkan keadaan yang kurang positif atau lebih kurang sama dengan Februari 2022.

    Varian Omicron yang lebih mudah menular telah mengehadkan aktiviti orang ramai termasuk mengurangkan kunjungan ke kedai sebagai langkah berjaga-jaga dan ia telah menurunkan penjualan perniagaan dan juga kekurangan tenaga kerja kerana menjalani perintah kuarantin sama ada daripada ujian positif COVID atau dikenal pasti sebagai kenalan rapat.

    Manakala, indeks bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan adalah 50.6 dan ini menunjukkan sentimen perniagaan-perniagaan yang positif terhadap peningkatan jualan menjelang Hari Raya Aidilfitri dan kes harian COVID yang memuncak pada awal Mac telah mula menurun.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Mac 2022, 50.6 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan di mana indeks itu menunjukkan secara keseluruhan, para perniagaan telah meningkatkan aktiviti pelaburan pada Mac 2022 berbanding bulan sebelumnya.

    Rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan pelaburan pada April 2022 termasuk penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur pejabat dan premis perniagaan serta pembelian peralatan, kenderaan syarikat dan juga bekalan bahan mentah.

    Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.2 bagi Mac 2022 dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan secara keseluruhan, terdapat penambahan pekerja baharu pada Mac 2022 dan juga perancangan untuk meningkatkan lagi pengambilan pekerja pada April 2022.

    Secara amnya, perniagaan-perniagaan menghadapi kekurangan tenaga kerja disebabkan tidak dapat menggantikan pekerja-pekerja asing yang telah tamat tempoh permit mereka dan kembali ke negara asal.

    Responden juga mengongsi kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan dan telah mengambil pekerja-pekerja separuh masa. Walau bagaimanapun, perniagaan-perniagaan mengharapkan penambahbaikan dalam prosedur pengambilan pekerja dan mengalu-alukan tindakan untuk menyelesaikan cabaran tenaga kerja yang berterusan.

    Sub-Indeks Kos adalah 50.2 bagi Mac 2022 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan bahawa syarikat-syarikat perniagaan mengalami kos perniagaan yang lebih tinggi berbanding Februari 2022 dan menjangka kos akan terus meningkat pada April 2022.

    Responden telah mengongsi kebimbangan mengenai peningkatan kos selama beberapa bulan yang telah mengurangkan keuntungan syarikat.

    Secara amnya, ini termasuk kenaikan harga pada makanan seperti daging dan bahan-bahan mentah seperti baja dan minyak serta kos pengangkutan dan penghantaran.
    Kos operasi juga telah meningkat disebabkan perbelanjaan tambahan bagi pekerja-pekerja seperti pembekalan kit ujian pantas antigen (ART), pembersih tangan dan pelitup muka.

    Dari segi sektor ekonomi, lima daripada 11 sektor mencatatkan sentimen yang pesimistik dengan indeks di bawah paras 50, tetapi meningkat sedikit berbanding Februari 2022.

    Penguncupan keadaan perniagaan yang terbesar pada Mac 2022 adalah sektor perdagangan borong dan runcit serta hotel dan restoran di mana antara sebab-sebab yang diberikan termasuk jualan yang lebih rendah berbanding bulan sebelumnya dan kekurangan tenaga kerja akibat kes COVID-19 di kalangan pekerja.

    Sentimen optimistik dicatatkan dalam dua sektor ekonomi bagi Mac 2022 iaitu minyak dan gas dan yang berkaitan serta kewangan dan insurans manakala sektor-sektor yang lain telah melaporkan keadaan perniagaan yang lebih kurang sama dengan Februari 2022.

    Dari segi indeks keadaan perniagaan mengikut saiz perniagaan, perusahaan dari semua saiz secara amnya mempunyai sentimen yang pesimistik dengan perniagaan bersaiz sederhana lebih terkesan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang melanda pada Februari 2022.

    Gelombang terkini telah menyebabkan gangguan operasi tempat kerja yang berleluasa dalam kalangan pernia-gaan mikro, kecil, sederhana dan besar dari segi kekurangan kakitangan dan penutupan sementara.

    Nilai BSI atas 50 menunjukkan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai BSI 50 menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 menunjukkan keadaan yang lebih merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terperinci mengenai BSI, mereka boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik dalam laman sesawang BDCB, https://www.bdcb.gov.bn

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...