Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    BDCB terbitkan BSI Mei 2022

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) adalah 50 bagi Mei tahun ini, di mana ia menunjukkan bahawa keadaan perniagaan secara keseluruhan bagi Mei 2022 dianggap hampir sama dengan April 2022, dengan sentimen yang berlainan di kalangan perniagaan.

    Beberapa perniagaan berpandangan optimistik terhadap tahap pesanan atau jualan, jumlah projek dan aktiviti perniagaan disebabkan pelbagai faktor seperti pelonggaran sekatan termasuk pembukaan semula sempadan melalui udara, penyambungan semula operasi perniagaan, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti penggal persekolahan.

    Dapatan itu adalah hasil dari BSI untuk Negara Brunei Darussalam bagi Mei 2022 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

    Indeks itu adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari kesemua empat buah daerah di Negara Brunei Darussalam di mana terdapat sembilan sub-indeks dalam BSI. Kaji selidik turut mendapati, sesetengah perniagaan mengongsi sentimen pesimistik atas beberapa sebab termasuk prospek gangguan kepada hasil pengeluaran yang akan menjejaskan penjualan, pengurangan pendapatan memandangkan penduduk tempatan akan mula melancong ke luar negara serta tahap produktiviti yang lebih rendah disebabkan oleh waktu kerja yang lebih singkat dengan beberapa hari kelepasan awam.

    Menurut maklumat yang dikeluarkan hari ini, indeks-indeks tersebut ialah keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan dengan 50.4; pelaburan adalah 50.5 bagi satu bulan ke hadapan dan 50.4 bagi tiga bulan ke hadapan; pengambilan pekerja adalah 50.1 bagi Mei dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan; kos adalah 49.9 bagi Mei dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan. Sub-indeks itu telah menurun di bawah paras 50 untuk kali pertama sejak Januari 2021 di mana antara lain, disebabkan oleh pengurangan dalam tahap pengeluaran oleh syarikat-syarikat di bawah sektor minyak dan gas dan yang berkaitan.

    Carta menunjukkan BSI dan sub-indeks sejak bulan Ogos 2020 sehingga Mei 2022. – Gambar serahan BSI

    Walau bagaimanapun, perniagaan-perniagaan daripada sektor-sektor lain menjangkakan kos keseluruhan yang lebih tinggi disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah, kos bagi logistik dan pengangkutan yang tinggi, perbelanjaan tambahan untuk gaji pekerja-pekerja baharu serta pembelian tiket penerbangan bagi pekerja-pekerja asing yang akan kembali ke negara asal.

    Kos juga dijangka akan meningkat pada Jun 2022 disebabkan oleh kekurangan bekalan yang berterusan. Dari segi sektor ekonomi, lima daripada 11 sektor mencatatkan sentimen yang optimistik dengan kenaikan indeks tertinggi adalah dalam sektor pengangkutan dan komunikasi yang didorong oleh jangkaan bahawa perjalanan keluar negara akan meningkat dengan pembukaan semula sempadan melalui udara. Di samping itu, sektor hotel dan restoran menjangka tahap jualan akan meningkat dengan pelonggaran sekatan terhadap pengadaan perhimpunan, acara dan majlis. Sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan juga mencatatkan sentimen optimistik.

    Sebaliknya, sektor perkhidmatan lain mencatatkan sentimen perniagaan yang pesimistik pada Mei 2022 dengan jangkaan penurunan produktiviti dan aktiviti disebabkan oleh hari-hari kelepasan awam dan pengambilan cuti dalam kalangan pekerja dan pelanggan.

    Sektor-sektor lain seperti minyak dan gas dan yang berkaitan, pembuatan, perdagangan borong dan runcit, kewangan dan insurans dan harta tanah serta pemilikan kediaman telah melaporkan sentimen keadaan perniagaan yang hampir sama pada Mei 2022 berbanding bulan sebelumnya. Dari segi indeks keadaan perniagaan mengikut saiz perniagaan, perusahaan bersaiz sederhana dan besar berpandangan optimistik pada Mei 2022 disebabkan jangkaan bahawa tahap jualan dan keuntungan mereka akan meningkat pada musim perayaan serta peningkatan dalam jumlah projek. Sementara itu, peniaga bersaiz mikro dan kecil pula melaporkan sentimen keadaan perniagaan yang hampir sama pada Mei 2022 berbanding bulan sebelumnya. BSI bertujuan untuk mengukur tahap keyakinan atau sentimen perniagaan-perniagaan di negara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, jumlah pengambilan pekerja serta kos menjalankan perniagaan.

    Keterangan indeks ialah nilai BSI atas 50 menunjukkan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai BSI 50 menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 menunjukkan keadaan yang lebih merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, mereka boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik dalam laman sesawang BDCB, https://www.bdcb.gov.bn serta juga dengan mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB@centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...