Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) mengunjurkan kadar inflasi BDCB bagi 2022 adalah di dalam lingkungan 2 hingga 3 peratus.
BDCB telah mengeluarkan kenyataan dasar BDCB kali pertama bagi 2022 di mana ia mengongsi bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2022 daripada 4.4 peratus kepada 3.6 peratus.
Ia disebabkan oleh kesan limpahan daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine termasuk gangguan terhadap bekalan dan kadar inflasi yang lebih tinggi.
Sementara itu, ekonomi domestik telah mencatat penurunan sebanyak 1.6 peratus bagi 2021. Walaupun unjuran kadar inflasi global yang dijangka akan berterusan, BDCB menjangkakan impaknya terhadap kadar inflasi di Negara Brunei Darussalam adalah minimum mengambil kira pengetatan dasar monetari oleh Monetary Authority of Singapore (MAS) tiga kali dalam tempoh tujuh bulan pertama 2022.
BDCB juga memaklumkan sektor kewangan merekodkan pertumbuhan nilai aset keseluruhan yang mampan iaitu sebanyak 7.9 peratus tahun-ke-tahun, dengan aset keseluruhan berjumlah $23.9 bilion pada suku pertama 2022 di mana sebanyak $13.9 bilion atau 58 peratus adalah aset kewangan Islam.
Sebanyak 92 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan adalah daripada institusi-institusi penerima deposit dengan nilai aset berjumlah $22 bilion.
Kedudukan modal industri perbankan kekal kukuh dan berdaya tahan pada suku pertama 2022 dengan agregat Capital Adequacy Ratio sebanyak 20.9 peratus.
Walau bagaimanapun, dengan peningkatan ketidakpastian berikutan dengan penularan wabak COVID dan kadar faedah atau keuntungan global yang masih agak rendah, pulangan keuntungan bagi industri perbankan telah merekodkan penurunan.
Kelonggaran sementara beberapa peraturan perbankan kepada bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan telah ditiadakan selepas 30 Jun 2022, mengambil kira pelonggaran sekatan COVID telah dilaksanakan secara beransur-ansur dengan pemulihan peniaga-peniaga dan individu dari segi kewangan daripada impak pandemik.
Manakala, pengecualian yuran dan caj, kecuali caj pihak ketiga, bagi sebarang pemindahan dana antara bank tempatan dalam talian melalui sistem-sistem Real-Time Gross Settlement (RTGS) dan Automated Clearing House (ACH) telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022.
Dalam memastikan infrastruktur kritikal di sektor kewangan adalah menepati piawaian antarabangsa, BDCB telah mengeluarkan Guidelines on Technology Risk Management dan Guidelines on IT Third Party Risk Management kepada kesemua institusi kewangan selaras dengan Financial Sector Blueprint (2016-2025) dalam matlamat strategik di bawah Pillar III.
Selain itu, pihak BDCB juga telah mengeluarkan Notice on Academic Qualification and Work Experience Requirement for Capital Markets Services Representative’s Licence (CMSRL) untuk mempertingkatkan lagi tahap profesionalisme di dalam sektor kewangan dan Notis mengenai Proses Permohonan dan keperluan Perniagaan Insurans Berkaitan Pelaburan bagi Syarikat Insurans untuk mengukuhkan lagi urus tadbir dalam sektor berkenaan.
Kenyataan Dasar BDCB 1/2022 yang lengkap boleh didapati di laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn. Bagi maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi BDCB di talian 8318388 atau melalui e-mel, info@bdcb.gov.bn.