Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    BDCB: Waspada panggilan nombor tidak dikenali

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menegaskan bahawa pihak mereka tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat peribadi atau perbankan mahupun bagi pembayaran sama ada melalui telefon ataupun perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

    Penegasan itu dibuat oleh BDCB dalam kenyataannya hari ini setelah menerima aduan
    mengenai orang ramai yang dihubungi oleh individu-individu yang menyamar sebagai kakitangan BDCB melalui panggilan telefon, SMS atau aplikasi seperti WhatsApp dan
    Telegram.

    BDCB juga menerima maklumat mengenai beberapa penipuan kewangan yang menggunakan nama dan logo BDCB sebelum ini, iaitu Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

    Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan telefon atau SMS daripada nombor-nombor yang tidak dikenali, sama ada tempatan atau antarabangsa, terutama jika tidak ada jangkaan atau perjanjian untuk dihubungi.

    Panggilan seumpamanya bertujuan bagi mendapatkan butiran peribadi dan perbankan dengan niat untuk mendapatkan akses kepada akaun bank mangsa bagi mencuri daripada mereka.

    Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada apabila menerima panggilan atau mesej daripada nombor tidak dikenali.

    Sesetengah penipuan kewangan juga menggunakan nama dan logo BDCB untuk mendakwa bahawa terdapat yuran atau caj yang perlu dibayar.

    BDCB juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mengongsikan maklumat peribadi, terutamanya yang berkaitan dengan urusan perbankan kepada individu, organisasi mahupun entiti yang tidak dikenali tanpa pengesahan, termasuk butiran pengenalan diri (seperti nombor kad pengenalan atau/dan pasport), butiran ATM, kad kredit dan debit termasuk nombor-nombor PIN dan CVC/CVV dan nama pengguna atau kata laluan dalam talian.

    Di samping itu, jangan memindah atau mengirim wang kepada individu, organisasi, entiti yang tidak dikenali, sama ada di dalam atau ke luar negara.

    BDCB sekali lagi menegaskan sesiapa yang menggunakan nama atau logo BDCB tanpa kebenaran bertulis atau menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau lambang BDCB yang serupa atau menyerupai untuk memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan untuk memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan merupakan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah BDCB, 2010.

    Jika disabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali boleh dijatuhkan.

    Jika menerima bahan komunikasi berkaitan BDCB yang disyaki palsu, orang ramai boleh mendapatkan pengesahan dengan menghubungi BDCB melalui talian 8318388 atau e-mel info@bdcb.gov.bn.

    BDCB akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan serta terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...