BDHA lancar klinik hoki maya

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BDHA

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Bersempena dengan Festival Disember Brunei 2021, Persatuan Hoki Brunei Darussalam melancarkan klinik maya pertamanya, Let’s Try Hockey, bermula dari 4 hingga 11 Disember melalui platform dalam talian.

Klinik maya itu dilancarkan oleh Presiden Persatuan Hoki Brunei Darussalam (BDHA), Mansor Ibrahim, kelmarin. Turut hadir semasa majlis maya berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa BDHA, jurulatih-jurulatih, rakan-rakan media dan peserta-peserta yang berdaftar bagi menyertai klinik hoki itu.

Dalam ucapan pembukaannya, Mansor Ibrahim menyatakan penghargaan atas sokongan dan ketekunan jawatankuasa penganjur yang menjalankan program pembangunan serta mempromosikan hoki di Negara Brunei Darussalam walaupun berhadapan dengan batasan yang disebabkan oleh penularan COVID-19.

“Ini menandakan kali pertama kita menyertai kemeriahan Festival Disember Brunei 2021 dan kita amat teruja melihat lebih banyak minat ditunjukkan di kalangan warga muda untuk mencuba serta bermain hoki sebagai aktiviti keluarga sambil teranah di rumah,” tekannya.

Klinik itu dihasratkan bagi mereka dalam pelbagai peringkat umur yang berminat untuk mempelajari asas kemahiran hoki sambil teranah di rumah.

Acara selama lapan hari itu, merangkumi sesi interaktif dengan pemain-pemain kebangsaan dan jurulatih-jurulatih pembangunan hoki, menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi oleh para peserta.

Setiap sesi berlangsung selama kira-kira sejam bermula pukul 3 petang setiap hari dengan kesemua sesi interaktif akan dikendalikan dalam talian supaya para peserta dapat mengikutinya dengan mudah dari mana sahaja mereka mempunyai akses kepada peranti dan Internet.

Peserta permulaan yang berminat adalah dialu-alukan untuk mendaftar di mana borang pendaftaran dalam talian dapat diperoleh menerusi akaun Instagram mereka.

Mansur Ibrahim semasa merasmikan klinik maya berkenaan.
Aksi salah seorang pemain cilik yang dapat disaksikan online.