Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) telah menjelaskan mengenai video menunjukkan satu animasi grafik jumlah turunan hujan selama 10 hari bermula 20 hingga 30 Disember ini bagi rantau Asia Tenggara yang diambil daripada salah satu aplikasi mudah alih mengenai cuaca sehingga menjadi tular di media sosial pada masa kini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, BDMD menjelaskan bahawa animasi tersebut menunjukkan ramalan jumlah turunan hujan yang terkumpul bagi tempoh 24 jam, tiga hari, lima hari dan 10 hari akan datang bagi rantau Asia Tenggara.
Sehubungan itu, pihak jabatan menjelaskan bahawa ramalan turunan hujan tersebut pada amnya adalah normal dengan keadaan cuaca dalam musim tengkujuh, monsun timur laut, yang pada masa ini dialami di rantau ini.
Dalam hal ini, bagi Negara Brunei Darussalam, memandangkan masih berada di musim tengkujuh, pada lazimnya cuaca tidak menentu dengan hujan sekali sekala lebat dijangka berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi. Maka cuaca aktif dijangka akan bermula 25 Disember hingga penghujung bulan ini.
Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berasa resah dan terus mengikuti maklumat cuaca rasmi yang dikeluarkan oleh pihak jabatan.
Kenyataan menegaskan, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Di samping itu, BDMD menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, di mana segala maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram (@bruneiweather).