Wednesday, February 8, 2023
31.8 C
Brunei

-

BDSA hantar atlet sertai kejohanan antarabangsa

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Persatuan Renang Brunei Darussalam (BDSA) akan menghantar atletnya untuk menyertai Kejohanan Renang Dunia FINA ke-16 di Melbourne, Australia dan Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara ke-44 di Kuala Lumpur, Malaysia pada hujung bulan ini.

Bersempena dengan penyertaan itu, majlis penyerahan baju pasukan daripada penaja, Aewon dan Royal Brunei telah diadakan di Kolam Renang Kebangsaan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Perenang kebangsaan, Muhammad Isa Ahmad merupakan wakil sulung negara bagi kejohanan di Australia yang akan diadakan dari 13 hingga 18 Disember. Dia sebelum ini pernah menyertai Olimpik Tokyo, berazam untuk memperbaharui rekod kebangsaannya dalam acara 50 meter (m) dan 100m kuak dada. Dia akan diiringi oleh Pengurus Pasukan, Ang Beng Siong dan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Wu Na.

Sementara itu, tujuh orang perenang muda termasuk empat orang atlet yang bakal membuat kemunculan pertama telah dipilih untuk menyertai kejohanan di Malaysia yang akan diadakan dari 17 hingga 18 Disember. Mereka terdiri daripada Zeke Chan, Ilyas Haziq Mohammad Irwan Hashmann, Dylan Wong, Hayley Wong, Sharmeen binti Mohammad Mharvin, Abby Wong and Awangku Muhd Kamarul ‘Arif Musawwir Wijaya.

Bintang yang meningkat naik, Zeke Chan dan Hayley Wong akan menyertai kejohanan tersebut setelah memenangi Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan Brunei Pertama, baru-baru ini.

Manakala, perenang berusia 13 tahun, Sharmeen telah dinobatkan sebagai Perenang Perempuan Terbaik dalam kategori bawah 13 semasa Kejohanan Renang Kumpulan Umur Brunei ke-29 pada Jun lalu.

Mereka akan diiringi oleh Pengurus Pasukan, Melissa Ang serta jurulatih, Li Wei dan Victor Tan.

Kejohanan tersebut telah meningkatkan penyertaan kepada tiga orang perenang dari setiap negara bagi setiap acara, sekali gus menjadikannya salah satu acara sukan terbesar di rantau ini.

Atlet renang kebangsaan bergambar bersama baju pasukan daripada penaja, Aewon dan Royal Brunei di Kolam Renang Kebangsaan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -