Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    BDSG 2022 cungkil bakat, semangat kesukanan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Sorakan demi sorakan daripada orang ramai, mengobarkan lagi semangat para peserta untuk meraih kemenangan meskipun sudah tercungap-cungap keletihan.

    Bak kata peribahasa ‘Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lenggan’ itulah semangat kental para peserta untuk menamatkan setiap pertandingan olahraga dan balapan bagi mewakili setiap pasukan untuk meraih pingat semasa Majlis Penutup Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSG) yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Tutong, hari ini.

    Kejohanan sukan yang julung kali dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah berjalan selama 10 hari bermula 19 November lalu. Seramai 696 orang atlet beraksi dalam empat acara sukan iaitu renang, badminton, sepak takraw dan olahraga dengan sebanyak 71 pingat emas, 71 perak dan 71 gangsa.

    Antara matlamat kejohanan berkenaan ialah untuk mengenal pasti potensi dan bakat para pelajar yang berumur 18 tahun ke bawah bagi mewakili Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) ke kejohanan-kejohanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa serta sebagai persediaan kepada penyertaan kejohanan anjuran Asian Schools Sports Federation (ASSF) dan ASEAN Schools Sports Council (ASSC).

    Semasa majlis penutup, dimulakan dengan perlawanan peringkat akhir sukan olahraga iaitu bagi acara 4 x 400m Lelaki; 4 x 400m Perempuan; 100m Lelaki Berkeperluan Khas; 100m Perempuan Berkeperluan Khas; 4 x 100m Lelaki; dan 4 x 100m Perempuan.

    Acara diteruskan dengan perbarisan lalu kontinjen yang didahului oleh Pancaragam Kadet Polis Diraja Brunei dan seterusnya persembahan senamrobik daripada juara Pertandingan Senamrobik Sekolah Rendah Tahun 2022 dan diikuti dengan penyampaian pingat.

    Johan keseluruhan bagi BDSG dimenangi oleh pasukan dari Kluster 3 diikuti dengan pasukan dari Kluster 1 di tempat kedua dan pasukan Kluster 2 berada di tempat ketiga keseluruhan.

    Sementara itu, Olahragawan BDSG 2022 disandang oleh Zeke Chan Zhi Yue dari Kluster 2 yang merupakan atlet acara renang yang memperolehi empat pingat emas, satu pingat perak dan satu gangsa. Manakala Hayley Wong Ann Yue juga dari Kluster 2 pula diumumkan sebagai Olahragawati BDSG 2022 dengan perolehan pingat daripada acara renang iaitu empat pingat emas dan dua gangsa.

    Acara diakhiri dengan pengisytiharan penutupan rasmi BDSG 2022 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan bergambar ramai bersama johan keseluruhan BDSG 2022 selepas acara berkenaan.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa mengisytiharkan penutupan rasmi kejohanan berkenaan.
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menyampaikan piala kepada para pemenang.

    Antara aksi pelajar yang menyertai acara olahraga semasa kejohanan itu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...