BDSP kembang, iktiraf seni fotografi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam usaha mengembangkan seni foto ke peringkat lebih tinggi dan mengiktiraf kerjaya seorang jurugambar, Kumpulan Brunei DailySnaps Photography (BDSP) mengadakan perkumpulan buat pertama kalinya diselajurkan dengan pengagihan baju ahli yang berlangsung di sebuah hotel di Gadong, kelmarin.

Majlis itu juga bertujuan melantik beberapa orang duta terdiri daripada jurugambar dan mengumpulkan dana jualan baju para ahli yang akan disumbangkan 100 peratus kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Salah seorang duta yang baru dilantik, Dayang AishaDiana @ Mewsum Wong ketika ditemui di majlis tersebut menjelaskan kumpulan itu ditubuhkan selepas mencapai keramaian lebih kurang 4,600 orang dan mula aktif di Facebook.

Misi dan visi utama BDSP adalah untuk mengembangkan seni foto dalam dan luar negara serta mengiktiraf kerjaya itu, katanya.

“Untuk mencari jurugambar yang kreatif, ia tidak semestinya mempunyai peralatan yang canggih, sekarang hanya menggunakan telefon dengan teknologi terkini pun sudah boleh menghasilkan gambar-gambar menarik dan kreatif,” katanya.

Pada majlis itu, duta-duta dilantik turut mengatur sesi penggambaran miniatur bersama beberapa jurugambar profesional dan amatur menggunakan kamera dan telefon mudah alih dan saling berkongsi tatacara pengambilan gambar kreatif.

Menurut Dayang Aisha, BDSP juga sedang giat merancang Pertandingan Dron dan Kamera Fotografi serta mengalu-alukan orang ramai menyertainya sebaik sahaja mereka mengumumkannya kelak di laman Facebook mereka.

Jurugambar menggunakan kamera ketika sesi penggambaran miniatur semasa perkumpulan BDSP di sebuah hotel di Gadong, baru-baru ini.