BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Akademi Guru Brunei Darussalam (BDTA) kelmarin mengadakan sesi kedua perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin sekolah Kluster 4, 5 dan 6 dan sekolah-sekolah Arab di Daerah Tutong dan Belait.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, antara objektif sesi tersebut diadakan adalah untuk memberi penekanan semula mengenai peranan dan fungsi BDTA serta sokongan yang disediakan oleh pihak BDTA berkaitan perkembangan profesional guru-guru untuk memenuhi jangkaan pihak sekolah tentang peranan dan tanggungjawab BDTA dan untuk memperkukuhkan serta mengeratkan silaturahim dengan pihak sekolah.
Pada sesi tersebut, BDTA mengongsikan kursus-kursus yang ditawarkan dan juga cara pendaftaran untuk mengikuti kursus secara atas talian (online). Terkini, terdapat lebih 60 kursus yang ditawarkan di akademi dan ia dibahagikan kepada lapan subjek utama termasuklah Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Technology Enhanced Learning Environment (TELE) iaitu kumpulan kursus yang berkaitan dengan teknologi dalam pendidikan, Pengetahuan Ugama Islam, General Courses yang berkaitan dengan pedagogi, Sains dan Pendidikan Khas.
Bagi maklumat lanjut mengenai cara pendaftaran dan kursus-kursus yang ditawarkan, guru-guru bolehlah melayari laman sesawang BDTA di bdta.moe.gov.bn