BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Persatuan Tekwando Brunei Darussalam (BDTA) telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya baru-baru ini, dengan agenda utama pelantikan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif baharu bagi sesi 2020-2021.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pada Khamis lalu itu telah dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa eksekutif lama dan jawatankuasa-jawatankuasa kerja, para pemegang tali pinggang hitam dari semua kelab tekwando di negara ini serta perwakilan dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, mesyuarat tersebut telah dimulakan de-ngan ucapan alu-aluan daripada Presiden BDTA 2018-2020, Haji Tajudin bin Haji Mohd Salleh yang antara lain menekankan mengenai keperluan bagi semua pemegang tali pinggang hitam untuk lebih aktif dalam pentadbiran persatuan berkenaan.
Ini kerana, tambah beliau, mereka mempunyai potensi membawakan seni mempertahankan diri berkenaan di negara ini dan persatuan ke tahap lebih tinggi dengan idea-idea dan inisiatif baharu, dalam masa yang sama mengekalkan kepentingan integriti dan kepercayaan dalam kalangan mereka.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa eksekutif terdahulu atas dedikasi dan sumbangan mereka kepada pembangunan tekwando dalam tempoh dua tahun kebelakangan.
Mesyuarat turut mendengarkan pembentangan laporan aktiviti dan kewangan bagi 2018 hingga 2020 oleh setiausaha agung BDTA sebelum pembubaran ahli-ahli jawatankuasa eksekutif sesi 2018-2020.
Ini diikuti dengan pencalonan dan pengundian ahli-ahli baharu dengan Haji Tajudin mengekalkan jawatan sebagai presiden dan Lim Ting San sebagai naib presiden.
Ahli-ahli lain terdiri daripada Setiausaha Agung 1, Pengiran Abdul Raub bin Pengiran Haji Ghani; Setiausaha Agung 2, Dayang Nur Farazida binti Haji Abdullah; Setiausaha Agung 3, Awang Nikman Wa’ie bin Abdullah Kwa; Bendahari, Haji Mohd Firdaus bin Haji Bohari dan Pembantu Bendahari, Dayang Lydia Marsha binti Mohd Ibrahim.
Mesyuarat kemudian membincangkan beberapa perkara berbangkit sebelum ditutup dengan sesi bergambar ramai.





























