Beban sewa premis, Atu Zero tutup kedai

Pelakon dan pelawak Atu Zero, 29, mendedahkan dia kini dalam pertimbangan menutup kedai perniagaan kek lapis dan butiknya di Setia Alam, Selangor selepas semakin terbeban membayar sewa premis itu.

Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif mengakui dia sebenarnya berat hati untuk melepaskan premis terbabit, namun itu saja cara terbaik buat masa ini demi mengawal kewangannya.

Menurutnya, perniagaan kek lapis bersama isterinya Shafeeqa Johari, 35, itu masih akan diteruskan tetapi hanya beroperasi dari rumah saja.

“Memang sayang rasanya apalagi kedai itu sudah kami ubah suai serta sewanya agak berpatutan. Namun begitu, buat masa ini memang kami semakin terbeban untuk membayar sewa bulanannya.

“Kami pun sudah memaklumkan kepada pemilik premis itu untuk memberi laluan kepada penyewa baharu yang lebih berkemampuan jika ada. Kami dengan rela hati sudi melepaskannya.

Atu Zero menutup kedai perniagaan kek lapis dan butiknya di Setia Alam kerana terbeban membayar sewa premis. – Agensi

“Buat masa ini, kami akan tengok keadaan dulu bagaimana tapi kemungkinan besar memang terpaksa menutupnya. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pendapatan kami merosot serta masih perlu bayar komitmen lain seperti rumah dan kereta,” katanya.

Atu mengakui buat masa ini dia perlu mengawal belanja apalagi industri hiburan masih dilarang untuk beroperasi. Justeru, banyak hal perlu dipertimbangkannya sebelum dapat dibenarkan kembali bekerja semula kelak.

“Kali terakhir saya terbabit aktiviti seni adalah menerusi Muzikal Lawak Superstar 2. Selepas itu, bila PKP 3.0 memang sudah tiada pekerjaan selain perniagaan kek lapis dan butik berkenaan.

“Meskipun pendapatan jual kek lapis masih ada, tapi perniagaan makanan lain tak dapat dijalankan di premis itu kerana larangan makan di dalam kedai. Justeru, kami berfikir untuk menutupnya saja,” katanya.

Dalam pada itu, Atu mengakui terharu apabila mendapat kata-kata sokongan daripada Ustaz Ebit Lew yang menyuruh mereka untuk tidak berputus-asa.

“Beliau ada juga menyatakan keinginan untuk membantu perniagaan kami. Namun begitu, kami meminta beliau lebih baik dulu membantu program pengurusan jenazah yang kami jalankan di Kudat, Sabah,” katanya. – Agensi