Bebanan penyokong faktor harga tiket kekal

KUALA LUMPUR, 26 NOV – Memahami bebanan kewangan penyokong yang terjejas susulan pandemik COVID-19, antara faktor utama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut dibuat Sekretariat MFL dan diluluskan Ahli Lembaga Pengarah badan induk itu dalam mesyuarat sebelum ini.

“Ini satu keputusan besar yang terpaksa diambil dan sekarang bukan masa untuk kita menaikkan harga tiket walaupun kos operasi amat tinggi.

“Ia pertimbangan yang agak mendalam pada tahap (peringkat) Sekretariat tetapi keputusan ini saya rasa berpatutan dibuat kerana kita faham beban penyokong,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya tahun ini. – Bernama