Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Bebaskan Brunei daripada tembakau, rokok

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Walaupun Negara Brunei Darussalam bukannya sebuah negara pengeluar produk tembakau, menurut kaji selidik STEPS NCD 2016, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 50,000 – 60,000 orang rakyat negara ini yang berumur antara 18 hingga 69 tahun adalah perokok iaitu 36.3 peratus dalam kalangan lelaki dan 3.7 peratus dalam kalangan wanita.

    Manakala itu, hasil dapatan daripada kaji selidik Global School Health Survey (GSHD) 2019 pula, 9.8 peratus remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun adalah perokok iaitu 15.4 peratus remaja lelaki dan 4.3 peratus remaja perempuan.

    “Ini menandakan permintaan dalam negara terhadap rokok adalah masih tinggi,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022.

    Setiap individu di setiap peringkat umur di negara ini, tambahnya, berhak untuk bernafas udara yang bersih dan bebas daripada sebarang toksin.

    Maka sempena dengan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam bebas dari tembakau dan asap rokok.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dalam perutusan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022.

    “Justeru itu, saya menyeru kepada perokok-perokok untuk mengambil peluang ini untuk berhenti merokok dan jadikanlah ia sebagai motivasi untuk lebih peka dalam memperbaiki diri bagi mempertingkatkan kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” seru beliau.

    Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan, kesan negatif penggunaan tembakau secara umum memang telah sekian lama diketahui di mana ia bukan saja membahayakan penggunanya, malahan juga menimbulkan risiko kepada mereka yang terdedah kepada asap rokok pasif.

    Penggunaan tembakau sangat mengancam nyawa di mana lebih kurang 8 juta kematian akibat penggunaan tembakau dicatatkan di seluruh dunia setiap tahun. Selain daripada membahayakan kesihatan, tembakau juga memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

    “Justeru itu, ancaman tembakau kepada alam sekitar kini menjadi fokus kempen Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada tahun ini dengan tema ‘Tembakau: Ancaman kepada Alam Sekitar kita’.”

    “Tema ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kesan kitaran tembakau terhadap alam sekitar mulai daripada penanaman tembakau, penghasilan produk tembakau, pengedarannya hinggalah sisa toksik yang dihasilkan selepas penggunaannya,” ujar beliau.

    Selain daripada itu, ulasnya lagi, kempen berkenaan juga bertujuan untuk mendedahkan usaha dan muslihat industri tembakau yang cuba untuk membersihkan reputasi mereka dan secara licik, memasarkan produk mereka sebagai mesra alam.

    “Adalah diharapkan dengan mengetengahkan isu ini, helah dan tipu daya industri tembakau dapat diungkap dan akan dapat mendorong perokok-perokok untuk berhenti merokok.”

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan bahawa penggunaan tembakau mengancam alam sekitar pada setiap peringkat, bermula daripada penanaman pokoknya sehinggalah kepada penggunaannya.

    Penanaman tembakau menyumbang kepada penebangan hutan di mana dianggarkan 200,000 hektar hutan dimusnahkan setiap tahun, yang mana seterusnya menyumbang kepada peningkatan suhu dunia.

    Tanaman tembakau pula akan menyebabkan nutrien di dalam tanah semakin merosot, dan jika ini berterusan, ia akan merosakkan tanah dan menyebabkan tanah bertukar menjadi seperti padang pasir.

    Setiap tahun, jelasnya, sekitar 3.5 juta hektar tanah musnah dan tidak lagi dapat digunakan selepas digunakan untuk penanaman tembakau.

    Selain itu, penanaman tembakau juga memerlukan penggunaan air yang banyak di mana semasa peringkat penanaman tembakau sahaja, jumlah air yang diperlukan adalah sama dengan jumlah air yang diperlukan bagi seseorang individu sepanjang tahun.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan, “Jika mengikut keseluruhan kitaran hayat sebatang rokok, satu batang rokok memerlukan lebih kurang 3.7 liter air, termasuklah daripada penanaman tembakau, pembuatannya, kemudian pengedarannya, seterusnya penggunaannya dan pelupusannya.

    “Secara purata, seorang perokok boleh menjimatkan 74 liter air setiap hari jika mereka berhenti merokok.”

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa rokok juga mencemarkan udara di mana untuk menghasilkan sebatang rokok, 14g karbon dioksida akan dikeluarkan.

    “Penghasilan produk tembakau menyumbang kepada hampir 84 juta metrik tan karbon dioksida setiap tahun, yang mana bersamaan dengan pelancaran 280,000 buah roket ke angkasa.”

    Asap rokok juga menyumbang kepada tahap pencemaran udara yang lebih tinggi dan mengandungi tiga gas rumah hijau iaitu, karbon dioksida, metana dan nitrus oksida, yang mana seterusnya menyumbang kepada peningkatan suhu dunia dan perubahan iklim.

    Dalam perutusan itu lagi, Yang Berhormat Dato berkata, kitaran hayat produk tembakau berakhir pada sisa produk tembakau di mana puntung rokok adalah sampah terbanyak yang dibuang di merata-rata tempat.

    “Dianggarkan sebanyak 4.5 trilion puntung rokok tidak dibuang dengan cara yang betul setiap tahun.”

    Jelasnya lagi, “Kajian dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan kira-kira 65 peratus perokok membuang puntung rokok di merata-rata tempat.

    “Puntung-puntung rokok ini seterusnya mengeluarkan beribu-ribu bahan kimia ke udara, air dan tanah. Binatang laut seperti ikan, penyu dan sebagainya juga menjadi mangsa kerana termakan puntung rokok tersebut,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...