Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bebatik buruan utama pemancing

    Oleh Raz AS –

    Ikan bebatik juga dikenali sebagai gerong belang, golden travelly, king travelly dan banded travelly, atau nama saintifiknya gnathanodon speciosus, merupakan spesies ikan marin yang terkandung dalam golongan famili carangidae, dan satu-satunya dalam genus monospesifik gnathanodon.

    Taburan ikan bebatik adalah di kawasan perairan tropika dan subtropika lautan India dan Pasifik, dari bahagian barat Afrika Selatan, termasuk Laut Merah dan Mediterranean, ke timur Amerika Tengah, sehinggalah ke utara Jepun, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.

    Spesies ini kebanyakannya menghuni kawasan dalam pantai di mana ia menjadikan kawasan batu karang dan dasar berpasir sebagai habitat utamanya. Namun begitu kadang-kadang ia juga boleh didapati di kawasan air dalam.

    Ikan bebatik sangat senang dikenali dan dibezakan daripada spesies famili Carangidae yang lain kerana rupa mulutnya yang tidak bergigi dan berbibir tebal yang protractile atau boleh terkeluar, manakala badannya pula mempunyai warna unik, berwarna kuning terang dengan jalur hitam ketika usia juvenil dan berubah warna menjadi perak keemasan apabila usianya semakin matang atau dewasa.

    Sementara itu, jalur hitamnya juga akan semakin pudar atau menghilang dan bertukar menjadi tompok gelap.

    Renangannya yang pantas dan padu, serta semangat juangnya yang tinggi memberikan pertarungan hebat kepada pemancing. – GAMBAR OLEH FRONTIERS TRAVEL

    Spesies ini diketahui boleh membesar dengan panjang badan berukuran sehingga 120 sentimeter panjang maksima dengan berat sehingga mencecah 15 kilogram. Seperti juga ikan-ikan trevally dan jack daripada famili yang sama dengannya, ikan ini mempunyai badan berbentuk oblong padat, dengan profil dorsal yang sedikit cembung (convex) daripada profil ventralnya.

    Pada usia juvenil, ikan bebatik selalunya boleh didapati dalam sejumlah kawanan besar, berenang berdekatan objek-objek besar termasuk ikan-ikan besar seperti jerung, keratang dan lain-lain.

    Apabila sudah dewasa, ia lebih bersifat solitari atau hanya berenang dalam jumlah kumpulan yang kecil.

    Bebatik juvenil akan berenang mengikut rapat ikan-ikan besar sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada serangan pemangsa-pemangsa lain, sementara kelincahannya berenang membantunya menyelamatkan diri daripada menjadi makanan ikan perumah.

    Di samping itu, ia juga akan memberikannya peluang untuk mendapat makanan daripada sisa-sisa makanan ikan perumah. Berbeza daripada famili carangid yang lainnya, ikan bebatik jarang mengejar atau keluar memburu mangsanya.

    Ikan ini selalunya menggunakan mulutnya yang unik itu untuk menyedut makanan atau mangsanya dari celah-celah batu karang dan alga, serta organisma yang bersembunyi di pasir.

    Diet utama ikan bebatik terdiri daripada krustasea seperti udang, ketam dan amfipoda, di samping moluska dan juga ikan-ikan kecil.

    Spesies ini merupakan antara ikan yang ditangkap dan diternak secara besar-besaran untuk dikomersialkan di seluruh dunia.

    Selain itu, ia juga antara buruan utama para pemancing dan dianggap sebagai gamefish.

    Renangannya yang pantas dan padu, serta semangat juangnya yang tinggi memberikan pertarungan hebat kepada pemancing.

    Ikan ini jarang memilih umpan dan selalunya akan menyambar pelbagai jenis umpan atau lure yang dihulurkan dan boleh ditangkap sama ada dari tebing atau pesisir pantai dan bot.

    Namun begitu, antara umpan popular yang biasa digunakan untuk memburunya adalah menggunakan umpan udang dan ikan-ikan kecil atau ikan yang dipotong.

    Selain itu, bebatik juga boleh diumpan menggunakan lure daripada jenis jig, popper, spoon dan minnow.

    Beberapa tahun kebelakangan ini juga, pemancing mula menggunakan kaedah pancingan layang untuk memburu spesies ini di kawasan cetek.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda