Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 16 Julai – Bagi memudahkan Majlis Junjung Ziarah Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Tutong yang akan diadakan pada 18 Julai ini, beberapa batang jalan raya di daerah ini akan ditutup pada hari berkenaan.
Jalan-jalan yang terlibat adalah sepanjang Jalan Sungai Basong dari Simpang 3 Jalan Sungai Besar iaitu simpang menuju ke Hospital PMMPMHAMB sehingga Simpang 59 iaitu berdekatan dengan TelBru. Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Ketua Inspektor Shamsulnahar bin Haji Idris (gambar), semasa sidang media hari ini, menjelaskan jalan-jalan tersebut akan ditutup bagi pemandu yang tidak mempunyai pas khas bermula dari jam 7:30 pagi sehingga acara selesai.
Jalan dari Simpang 3, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong sehingga pusing keliling (berdekatan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka) menuju ke Kompleks Sukan Tutong juga akan ditutup bagi pemandu-pemandu yang tidak mempunyai pas khas bermula dari jam 7 pagi hingga acara selesai. Bagi pemandu yang tidak mempunyai khas dinasihati supaya mematuhi arahan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang ditugaskan untuk mengawal di jalan-jalan tutup tersebut.
Ketua Inspektor Shamsulnahar juga menasihati orang ramai agar menggunakan jalan-jalan alternatif dan diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan menanamkan sikap bertolak-ansur bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Jemputan khas bagi acara tersebut dinasihatkan agar menunjukkan pas khas kenderaan yang telah dikeluarkan oleh jawatankuasa tertinggi sambutan majlis untuk memudahkan anggota polis bertugas memberi laluan kepada mereka meletakkan kenderaan mengikut zon-zon yang dinyatakan pada pas tersebut dan mereka dinasihati agar hadir lebih awal sebelum jam 8 pagi.
Pas-pas khas yang telah dikeluarkan mengikut zon-zon adalah pas letak kereta VIP yang mana mereka bolehlah meletakkan kereta di kawasan Zon VIP iaitu bermula pusing keliling Dewan Bahasa dan Pustaka sehingga simpang keluar Kompleks Sukan Tutong (dari belakang); pas letak kereta Zon A iaitu di kawasan belakang Kompleks Dewan Seri Kenangan Tutong; pas letak kereta Zon B di kawasan Tapak Tamu lama berdekatan Taman Seri Warisan Emas dan pas letak kereta Zon C adalah bagi penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung Daerah Tutong dan ketua-ketua jabatan iaitu berdekatan dengan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah.
Bagi orang ramai yang ingin menghadiri semasa junjung ziarah dinasihatkan agar datang lebih awal dan meletakkan kenderaan di tempat yang selamat.