Beberapa kawasan kena tempias Maria

Oleh Normazlina M.D & Imelda Groves HA

 

TUTONG, 11 Julai – Berikutan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku pagi tadi telah menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang, atap terbang dan kerosakan harta benda di beberapa kawasan di Daerah Tutong.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebanyak 25 kes pokok tumbang dicatatkan dan lima kes atap terbang dicatatkan sejak pukul 8:56 pagi tadi akibat angin kencang dan hujan lebat yang tidak menentu.

Berdasarkan laporan daripada Balai Bomba Daerah Tutong, kawasan yang terjejas ialah Kampung Kupang, Kampung Bukit Panggal, Kampung Sengkarai, Kampung Keriam dan Jalan Sungai Besar Tutong.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca, Negara Brunei Darussalam kini memasuki musim monsun barat daya dan cuaca ketika ini dipengaruhi oleh Taufan Maria yang melanda timur China dan sistem tekanan rendah di bahagian utara Laut China Selatan. Selain itu, hujan ribut dengan angin bertiup 63 km sejam telah menjejaskan perairan negara dan kawasan darat bermula sekitar pukul 8:30 pagi tadi. Dalam temu bual telefon bersama Pegawai Kaji Cuaca, Dayang Nurulinani binti Jahari menjelaskan angin kencang telah dicatatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pagi tadi.

“Daerah Tutong antara yang paling teruk terjejas dengan hujan ribut yang kemudiannya bergerak pantas ke Daerah Brunei dan Muara. Hujan ribut bermula sejak pukul 2 pagi lagi namun paling teruk melanda sekitar pukul 8:30 pagi,” jelasnya.

Antara kejadian pokok tumbang selepas hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Daerah Tutong, kelmarin.
Kerosakan harta benda akibat angin kencang yang melanda salah sebuah kawasan di Daerah Tutong, kelmarin.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil langkah sewajarnya dengan mengikuti media massa dan media sosial rasmi Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam. Kemas kini yang sahih bermula pukul 5 petang hari ini menyatakan hujan dijangka berlaku di kawasan laut, kadangkala lebat dan berangin dijangka sekali-sekala menjejaskan kawasan darat di negara ini.

Kelajuan angin diramalkan sehingga 50 km/j semasa atau dekat hujan selain terdapat risiko banjir kilat terutama di kawasan rendah dan mudah banjir.

Orang ramai termasuk para pemandu dan para pelaut dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan semua.

Untuk maklumat terkini mengenai cuaca negara ini, orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan di laman sosial Jabatan Kaji Cuaca seperti Facebook dan Instagram @bruneiweather atau hubungi talian 114.