Beberapa negara sedia longgarkan perintah berkurung

MADRID, 26 APRIL – Beberapa buah negara Barat hari ini mula membuat persediaan untuk melonggarkan pe-rintah berkurung yang dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Antara lain, Sepanyol hari ini membenarkan kanak-kanak di negara itu untuk berada di luar buat pertama kali selepas tempoh enam minggu ‘perintah berkurung’. Ia juga bersedia melonggarkan perintah berkurung di negara itu dan membuka semula sektor ekonomi meskipun kematian akibat COVID-19 seluruh dunia melepasi 200,000 kes.

Menyusuli langkah itu ialah Belgium dan Amerika Syarikat (AS), yang kini merancang untuk melonggarkan sebahagian perintah kawalan berikutan pandemik COVID-19, yang memaksa lebih separuh penduduk dunia berkurung.

Jangkitan itu meningkat kepada 2.86 juta kes dan lebih 200,000 kematian, meningkat dua kali ganda sejak 10 April lalu, dengan lebih separuh daripadanya berlaku di Eropah, menurut data AFP. Ketika ini, AS kekal negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 dengan lebih 53,000 kematian, disusuli Itali dengan sekitar 26,000 kematian, Perancis dan Sepanyol masing-masing dengan 22,000 kematian serta lebih 20,000 kes di United Kingdom.

Sepanyol melaksanakan perintah berkurung paling ketat sejak 14 Mac lalu, dengan hanya orang dewasa dibenarkan keluar membeli barang keperluan dapur, ubat dan membawa anjing berjalan, manakala kanak-kanak dilarang keluar sama sekali. Bagaimanapun, bermula hari ini, kanak-kanak Sepanyol dibenarkan keluar rumah untuk beriadah tetapi hanya untuk sejam, dengan syarat perlu ditemani sama ada ibu atau bapa, dalam radius tidak melebihi satu kilometer (km) dari rumah mereka. Tekanan kehidupan di bawah lanjutan perintah berkurung yang turut menjejaskan ekonomi mengundang kekecewaan masyarakat, sekali gus mendorong mereka mendesak arahan itu ditarik balik. – AFP

Kanak-kanak memakai penutup mulut dan hidung bermain di sebuah taman di Seville kelmarin di tengah perintah berkurung untuk mengelak penularan COVID-19. – AFP