Beberapa permasalahan sembahyang orang yang menanggung najis

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri Satu

Najis ialah segala kotoran yang menghalang kesahihan sembahyang ketika tiada kelonggaran yang mengharuskannya. Kerana itu tidak sah sembahyang jika ada bersamanya najis pada waktu tiada kelonggaran. Tetapi jika dalam keadaan ada kelonggaran seperti sembahyang orang yang beristinja’ dengan batu, maka hukum sembahyangnya sah kerana ia dimaafkan walaupun kesan istinja’ itu dihukumkan najis. Istinja’ bermaksud menghilangkan najis yang keluar daripada kemaluan.

Sebahagian ulama mentakrifkan bahawa najis itu ialah setiap sesuatu benda yang haram dimakan secara mutlak ketika dalam keadaan ikhtiyar (ada pilihan) serta senang dibezakan, ia haram bukan kerana ia dimuliakan, bukan kerana ia kotor dan bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘secara mutlak’ itu ialah tidak termasuk apa yang diharuskan ketika ia sedikit dan apa yang diharamkan ketika ia banyak seperti candu dan ganja kerana ia suci.

Sementara maksud ‘ketika dalam keadaan ikhtiyar (ada pilihan)’ pula ialah bukan waktu dharurat memakannya, kerana ia diharuskan ketika dalam keadaan dharurat itu, akan tetapi ia tetap dinamakan najis.

Adapun yang dimaksudkan dengan ‘senang dibezakan’ itu ialah ia haram dimakan jika dapat dibezakan benda itu, akan tetapi ulat buah-buahan, keju dan seumpamanya adalah najis tetapi ia harus dimakan kerana ia sukar dibezakan.

Najis yang dimaafkan itu ialah seperti darah kutu, darah nyamuk dan seumpamanya yang tidak mengalir, kerana darah yang ada pada kutu atau nyamuk itu adalah darah yang dihisapnya dari tubuh manusia.

Maksud ‘ia haram bukan kerana ia dimuliakan’ pula ialah tidak termasuk daging manusia kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kemuliaan dan ketinggiannya.

Adapun maksud ‘bukan kerana ia kotor’ ialah tidak termasuk hingus kerana ia suci, dan ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana kotornya atau jijiknya.

Sementara maksud ‘bukan kerana ia mendatangkan kemudharatan pada badan dan akal’ ialah tidak termasuk apa yang memudharatkan badan seperti racun dan memudharatkan akal seperti candu, kerana ia suci. Ia haram dimakan bukan kerana najis akan tetapi kerana mudharatnya.

Najis terbahagi kepada tiga bahagian:
Najis mukhaffafah (najis ringan) iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun, dan belum makan makanan yang mengenyangkan melainkan susu ibu sahaja.

Najis mutawassithah (najis sederhana) iaitu seperti tahi, darah, muntah dan sebagainya.

Najis mughallazhah (najis berat) iaitu anjing, khinzir dan kacukan daripada keduanya atau salah satu daripada keduanya.

Orang yang terkena najis atau ada pada dirinya najis sama ada pada badan atau pakaiannya disebut orang yang menanggung najis. Apabila dia hendak mengerjakan sembahyang, maka hendaklah terlebih dahulu dia menghilangkan najis tersebut dan menyucikan tempat yang terkena najis itu. Ini kerana dengan adanya najis itu menghalang kesahihan sembahyang seseorang itu.
Tetapi jika sekiranya najis yang ditanggung itu najis yang dimaafkan sama ada pada badan atau pakaiannya, maka sah sembahyangnya tanpa terlebih dahulu dia menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu.

Apakah dia najis yang dimaafkan itu?
Najis yang dimaafkan itu ialah seperti darah kutu, darah nyamuk dan seumpamanya yang tidak mengalir, kerana darah yang ada pada kutu atau nyamuk itu adalah darah yang dihisapnya dari tubuh manusia.

Demikian juga, darah atau nanah yang datang dari bisul atau jerawat. Kesemua contoh najis yang tersebut adalah dimaafkan walaupun banyak darahnya, selagi ia bukan berpunca dari perbuatannya sendiri.

Jika ia berpunca dari perbuatannya sendiri seperti kutu itu dibunuhnya atau bisul itu dipicitnya sehingga mengeluarkan darah yang banyak, maka darah tersebut tidak dimaafkan melainkan jika ia keluar sedikit sahaja. Selain itu, darah tersebut jika ia bercampur dengan banyak najis yang datang bukan dari diri sendiri seperti darah kucing atau najis yang asalnya datang dari diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi. Maka ia termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan melainkan jika ia bercampur dengan sedikit.

Contoh najis yang dimaafkan itu lagi, ialah najis yang sedikit sama ada najis yang datang bukan dari diri sendiri seperti darah kambing yang mengenai pakaiannya atau najis yang asalnya datang dari diri sendiri kemudian terpisah lalu mengenainya lagi seperti darahnya yang sudah terpisah dari dirinya lalu mengenai pakaiannya. Dalam kedua-dua keadaan ini, najis tersebut adalah dimaafkan jika ia sedikit, akan tetapi jika ia banyak maka tidaklah dimaafkan. Sebagai contoh darah haid yang sedikit mengenai pakaiannya atau darah yang keluar dari hidungnya dengan hanya sedikit darah itu mengenai dirinya.

Berbeza halnya jika najis itu mughallazhah, ia tidak dimaafkan walaupun hanya terkena sedikit seperti darah anjing.

Adapun kadar banyak dan sedikit yang dimaksudkan bagi najis itu menurut pendapat yang ashah ialah merujuk pada adat kebiasaannya. Apa yang pada kebiasaannya seseorang itu terkena najis dan sukar untuk menghindarinya adalah dikira sebagai kadar yang sedikit.

Adapun apa yang melebihi daripada itu adalah dikira sebagai kadar yang banyak.

Pendapat yang lain pula, kadar banyak najis itu ialah apa yang nampak oleh mata tanpa perlu melihat dan mencarinya dengan teliti. Sementara sebaliknya pula adalah kadar sedikit najis.

Syarat sah sembahyang suci daripada najis
Masalah najis amat berkait rapat dengan sembahyang kerana salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis menjadi syarat sah sembahyang adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah al-Muddatsir: 4)

Ayat di atas menunjukkan perintah untuk menyucikan pakaian daripada najis dan ia menjadi dalil kepada perintah menyucikan tubuh badan daripada najis secara qias.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata yang maksudnya:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas dengan jelas memerintahkan untuk menghindari diri daripada najis ketika hendak mengerjakan sembahyang. Maka adalah wajib berkeadaan suci ketika di dalam sembahyang.

Hukum sembahyang dengan menanggung najis
Tidak sah sembahyang seseorang itu jika terdapat najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempatnya sembahyang.

Berikut ialah beberapa permasalahan sembahyang dalam keadaan menanggung najis:

Orang yang tidak tahu ada padanya najis
Jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahuinya sehingga apabila dia selesai mengerjakan sembahyang baharulah dia menyedari dan yakin bahawa ada padanya najis ketika dia mengerjakan sembahyang itu, maka tidak sah sembahyangnya. Wajib ke atasnya menyucikan dirinya daripada najis itu dan mengulang sembahyang tersebut.

Orang yang tahu ada padanya najis kemudian terlupa
Seseorang yang mengetahui ada padanya najis sebelum dia mengerjakan sembahyang, kemudian dia terlupa bahawa pada dirinya ada najis. Lalu dia pun mengerjakan sembahyang dengan keadaan bernajis itu. Setelah beberapa ketika dia pun teringat bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan keadaannya menanggung najis. Maka dalam hal ini, tidak sah sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut apabila masih ada waktu sembahyang atau mengqadhanya apabila sudah di luar waktu sembahyang.

Orang yang mendapati ada padanya najis setelah selesai sembahyang
Jika seseorang itu mendapati atau ternampak najis pada dirinya setelah dia selesai mengerjakan sembahyang dan dia tidak yakin bila adanya najis tersebut, maka tidak wajib ke atasnya mengulang atau mengqadha sembahyangnya itu, kerana menurut kaedah asal bagi setiap kejadian itu terjadi pada waktu yang terdekat. Ini bererti dengan mengambil kira kaedah tersebut najis itu ada padanya atau baru mengenainya setelah dia mengerjakan sembahyang, bukan ketika dalam sembahyang. Walau bagaimanapun menurut Imam asy-Syafi‘i dan para ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullahu Ta‘ala, sunat ke atasnya mengulang sembahyang tersebut sebagai langkah berhati-hati.

Berlainan halnya jika seseorang itu yakin bahawa dia mengerjakan sembahyang dengan ada padanya najis. Maka wajib ke atasnya mengulang sembahyang tersebut. Demikian juga halnya, wajib diulang sembahyang jika seseorang itu ada padanya najis tetapi dia tidak mengetahui yang demikian itu membatalkan sembahyang.

Orang yang baru mendapati najis ketika dalam sembahyang
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis, tetapi dia baru mendapati atau ternampak najis pada dirinya ketika dalam sembahyang, maka batal sembahyangnya itu dan wajib ke atasnya memulakan semula sembahyangnya.

Orang yang tidak tahu ada padanya najis ketika dalam sembahyang kemudian dia meninggal dunia
Jika seseorang itu meninggal dunia sebelum mengetahui yang dia telah mengerjakan sembahyang dalam keadaan bernajis ataupun dia sudah mengetahuinya tetapi belum sempat untuk mengqadhanya lalu meninggal dunia, maka dalam hal ini semoga Allah mengampunkannya disebabkan keuzurannya itu.