Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah melaksanakan lawatan pemeriksaan tidak berjadual ke atas gedung-gedung perniagaan di Gadong, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SDT, di sini, hasil daripada tindakan penguatkuasaan tersebut, terdapat beberapa produk barangan yang dijual telah gagal mematuhi akta dan peraturan sukat dan timbang.
Sehubungan itu, pihak syarikat telah dikeluarkan notis peringatan dan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja daripada tarikh notis dikeluarkan untuk membetulkan isu tersebut.
Operasi penguatkuasaan yang dijalankan itu merupakan tindakan rutin yang dijalankan untuk memastikan sebarang aktiviti perdagangan oleh pihak penjual akan terus selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, termasuk penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar.
Menurut Pengarah di Bahagian Industri dan Ekosistem, Allen On yang turut menyertai operasi tersebut, Unit SDT akan terus membuat lawatan penguatkuasaan di premis-premis perniagaan, stesen-stesen minyak dan di tapak perindustrian terutamanya untuk memastikan barangan atau produk yang dijual kepada pengguna di Negara Brunei Darussalam adalah menepati Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 pada setiap masa.