Bedak ketiak disangka dadah

SINGAPURA, 27 NOV – Seorang pelancong Indonesia dan tiga rakannya berdepan pengalaman pahit apabila ditahan selama 14 jam selepas bedak ketiak yang dibawanya disangka dadah oleh polis.

Sharonia yang menceritakan pengalamannya itu di Instagram memberitahu, dia bersama tiga rakannya menginap di sebuah hotel pada 10 November lalu untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.

Katanya, pengalaman pahitnya bermula apabila seorang petugas hotel terlihat bungkusan plastik mengandungi bedak tawas yang dibawanya dan diletakkan di atas meja bilik.

“Tiba-tiba pada waktu pagi, sembilan anggota polis menyerbu bilik kami dan merampas bedak berkenaan.

“Saya memberitahu polis itu adalah bedak untuk ketiak saya tetapi mereka tidak percaya dan terus membawa kami ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Sungguh memalukan kerana ramai tetamu hotel yang melihat kami ditangkap,” katanya.

Ujarnya, dia dan rakannya dimasukkan ke dalam lokap dan tidur di lantai seperti haiwan serta diberi makan sekali sahaja.

Menurutnya, mereka hanya dibebaskan 14 jam kemudian selepas ujian makmal mendapati serbuk putih itu bukan dadah. – Agensi