Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    BEDB rangsang pelaburan asing, domestik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dipandu oleh Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam ke arah Matlamat 3, Wawasan Brunei 2035 berusaha ke arah menjadikan ekonomi negara ini mampan dan dinamik.

    Sehubungan itu, BEDB kini sedang memacu pertumbuhan sektor swasta dengan menggalakkanpelaburan langsung asing dan domestik untuk membina aktiviti ekonomi di negara ini.

    Pelabur-pelabur akan disokong menerusi segala proses termasuk penubuhan operasi di taman-taman perindustrian yang ditetapkan, jelas Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB dan Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong ketika menyampaikan pembentangannya semasa forum ekonomi bertajuk BEDB: Looking Beyond to a Sustainable Economy, yang berlangsung di Hotel Radisson, hari ini.

    Di samping itu, tambahnya, para pelabur boleh mewujudkan hubungan dan menyediakan ekonomi sampingan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menerusi BEDB.

    Agensi PMKS menumpukan kepada menerajui pertumbuhan bermakna bagi perusahaan-perusahaan tempatan melalui inovasi, peruntukan program sokongan dan pembangunan efektif serta hubungan strategik dengan pihak-pihak berkepentingan.

    Ia mempersiapkan PMKS tempatan untuk mengambil bahagian dan memanfaatkan peluang-peluang perniagaan yang akan datang, jelas Daniel lagi. Beliau turut mengongsi mengenai peluang-peluang perniagaan khusus dalam lima kluster utama termasuk hiliran minyak dan gas, makanan, ICT, pelancongan dan perkhidmatan.

    Peluang-peluang lain yang turut dikongsi olehnya termasuk pembangunan ekonomi di Daerah Temburong di mana BEDB memainkan peranan sebagai peneraju ekonomi di bawah Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT). Terdahulu, Presiden Persatuan Perniagaan Perancis Brunei (FBBA), Jerome Saniez dalam ucapan alu-aluannya menerangkan bahawa forum itu mengetengahkan usaha-usaha BEDB dalam membangunkan dan menjana ekonomi mampan.

    Forum itu dihoskan oleh FBBA dan dihadiri oleh perwakilan-perwakilan daripada Kor Diplomatik, ahli-ahli FBBA dan institusi-institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei. Ia turut dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Perancis ke Negara Brunei Darussalam dan Penaung FBBA, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-fabre dan Kaunselor Ekonomi Serantau yang berpangkalan di Kedutaan Perancis di Singapura, Romain Suadrais yang dijemput untuk mempromosikan inisiatif-inisiatif kerajaan Brunei Darussalam melalui BEDB kepada syarikat-syarikat Perancis.

    Daniel Leong semasa menyampaikan pembentangannya di Hotel Radisson.
    TYT Bernard Regnauld-fabre (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Daniel Leong (kanan) semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan BEDB
    ATAS & BAWAH: Antara duta dan orang ramai yang hadir semasa acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...