Bedudun eratkan silaturahim

Oleh Ak Zaki Kasharan & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Seramai 50 orang ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim (MPM) Lumapas telah mengadakan lawatan Bedudun ke Kampung Sungai Bunga untuk menimba ilmu dalam Projek Satu Kampung Satu Produk (1K1P), kelmarin.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Hajah Hammah binti Puasa disambut oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh, penduduk kampung dan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga.

Kunjungan dimulakan dengan penyampaian taklimat keselamatan oleh Setiausaha MPK Sungai Bunga, Awang Mohamad Husaini bin Ali Hassan.

Lawatan antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan mengenali lebih dekat ahli-ahli MPM dan MPK.

MPK Sungai Bunga melalui Perkhidmatan Pelancongan Seri Tanjung MPK Sungai Bunga sering menerima kunjungan daripada pelancong dalam dan luar negara, namun setelah negara turut terjejas dalam pandemik COVID-19, mereka pada masa ini memfokuskan kepada pelancong dalam negara.

Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan melalui Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan untuk menggalakkan warga tempatan melancong di tempat-tempat menarik dalam negara dengan slogan Kenali Negara Kitani (KNK).

MPK Sungai Bunga juga bersedia berkongsi pengalaman khusus dengan mana-mana MPM dan MPK yang masih belum mengusahakan 1K1P sebagai landasan untuk meningkatkan sosioekonomi ahli dan warga kampung masing-masing.

Dalam lawatan tersebut, ahli-ahli Biro Wanita MPM Lumapas berpeluang melihat lebih dekat demonstrasi cara membuat kuih tradisi dan pemprosesan makanan tempatan seperti pembuatan Sata Ikan Moden, Nuget Ikan, Kuih Sapit, Kuih Putu Mayam dan ambuyat.

Ahli-ahli Biro Wanita MPM Lumapas juga berpeluang melihat lebih dekat demonstrasi pembuatan kuih tradisi semasa lawatan ke Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung MPK Sungai Bunga. – Gambar serahan MPK Sungai Bunga