Oleh Amri HTZ
SUDAH menjadi kebiasaan bagi masyarakat dunia meraikan hari kelahiran dengan menjemput tetamu dengan menghidangkan pelbagai jenis juadah. Bagi meraikan hari kelahiran yang meriah setentunya lebih sempurna jika tetamu yang datang diberikan buah tangan di akhir majlis.
Bagi memberikan buah tangan, ia memerlukan alat untuk menyimpannya dan memudahkan tetamu untuk membawa pulang buah tangan tersebut. Sebagai penyelesaian, anda boleh membuat sendiri beg yang terbuat daripada kertas dengan langkah yang mudah sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan.
Barang-barang yang diperlukan
Pada projek kali ini, barang-barang yang diperlukan untuk mereka beg hadiah ini adalah sebuah kotak bersaiz sederhana (mengikut saiz beg yang diperlukan), kertas lapisan buku/kad Manila (Kad Manila berukuran nipis), gunting, alat penebuk kertas, reben, pita pelekat, pensel, gam air, cat dan berus jenis span.
Langkah-langkah pembuatan
Pada langkah pertama, letakkan bahagian sisi kotak pada permukaan kertas kad Manila dan tiru bahagian sisi kotak menggunakan pensel. Setelah ukiran dibuat, potong kad Manila tersebut dengan menggunakan gunting. Penggunaan kotak kosong di sini merupakan sebagai penanda ukuran bagi saiz beg hadiah yang akan direka. Jika anda menggunakan kotak bersaiz besar, hasil akhir ukuran beg juga akan bersaiz besar. Pilih kotak yang bersesuaian dengan memastikan hadiah yang bakal diisikan muat ke dalam beg tersebut.




Pada langkah kedua, potong dua keping kertas dengan kepanjangan yang sama dengan potongan kertas yang pertama tetapi dengan lebar satu inci setengah. Dua kepingan kertas yang telah dipotong ini akan digunakan sebagai penyokong tali beg yang akan diikatkan nanti.
Manakala pada langkah ketiga, letakkan bahagian bawah kotak ke atas permukaan kad Manila dengan memastikan bahagian hujung (atas) berada pada hujung posisi kertas yang dilipat dan kemudian potong kertas dengan melebihi tiga inci pada bahagian bawah kotak. Bungkus kotak yang digunakan dengan kertas yang telah dipotong sehingga bahagian hujung pertemuan kertas bertemu dan lekatkan dengan menggunakan gam.
Pada langkah keempat, letakkan kotak yang dibungkus pada posisi berdiri dengan memastikan satu bahagian (atas) pada keadaan terbuka. Pada bahagian bawah, lipat kertas bahagian kiri dan kanan (gambar no. 6) ke bahagian dalam diikuti dengan sudut bahagian atas dan bawah sebelum melekatkannya dengan menggunakan gam.
Setiap sudut kertas pada kotak tersebut perlu diberikan tekanan menggunakan jari agar sudut-sudut beg ini nanti nampak cantik dengan garisan lipatan yang direka. Setelah kesemua sudut diberikan tekanan, anda boleh beralih ke proses mewarnakan beg tersebut dengan warna dan corak yang diminati.
Corak yang akan digunakan pada projek ini begitu mudah dengan hanya menggunakan span pencuci pinggan yang dipotong bulat dan dilekatkan pada batang kayu. Lekatkan span kayu dengan menggunakan gam jenis hot glue gun.





Berus cat yang digunakan ini berfungsi sebagai cap untuk memberikan corak ke atas beg tersebut. Cecahkan sedikit pewarna ke atas span dan tekan pada permukaan kertas bagi memastikan keseluruhan corak berus cat terkena ke permukaan kertas. Setelah cat mengering, keluarkan kotak daripada beg tersebut.
Pada langkah yang seterusnya ialah membuat lubang pada bahagian atas beg untuk meletakkan tali beg. Sebelum mengikatkan tali beg, dua kepingan kertas yang telah dipotong pada langkah kedua tadi perlu disertakan pada bahagian dalam lipatan kertas tersebut. Sebelum memasukkan potongan kertas tersebut, sapukan sedikit gam pada salah satu permukaan kertas dan kemudian lekatkan pada bahagian dalam lipatan kertas.
Selain itu kertas yang telah dipotong pada langkah pertama tadi juga perlu dilekatkan pada bahagian bawah beg kertas tersebut. Kedua-dua bahagian yang diletakkan pada beg ini merupakan alat sokongan untuk beg kertas tersebut agar tidak mudah terkoyak ketika membawa barangan di dalamnya.
Setelah melekatkan kertas yang telah dipotong tadi, kepit bahagian atas beg tersebut dan tebuk lubang tali beg dengan menggunakan penebuk kertas.
Dua lubang yang telah direka ini perlu diikatkan dengan tali/reben yang telah disediakan. Ikatkan hujung bahagian tali agar tali tidak terkeluar daripada lubang yang telah ditebuk. Setelah siap mengikatnya, uji kekukuhan beg anda dengan mengisikan hadiah yang akan diberikan sebelum memberikannya kepada tetamu yang datang.