BEIIP terima kemasukan 13 buah syarikat baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Pakatan Integriti Industri Tenaga Brunei (BEIIP) mengadakan majlis suai kenal bagi mengalu-alukan kemasukan 13 buah syarikat pada 2021 ke dalam rangkaian syarikat yang bergabung dalam komitmen mereka ke arah mengintegrasikan integriti dan standard etika yang tinggi dalam operasi perniagaan harian industri tenaga Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSP hari ini, menyatakan bahawa majlis itu diadakan secara maya disebabkan oleh sekatan COVID-19 pada masa ini.

Pada majlis berkenaan, Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein selaku tetamu kehormat telah menyampaikan ucaptama menerusi mesej video yang menyeru para pihak yang menandatangani pakatan berkenaan untuk terus komited dalam mempertahankan standard integriti yang tertinggi dan untuk menjadi contoh yang diikuti oleh yang lain.

Sebagai contoh adalah amat mustahak supaya pakatan itu akan memimpin melalui teladan dalam menentang ketidakjujuran serta dalam memastikan perniagaan terus beroperasi dengan integriti dan beretika, tambahnya lagi.

Acara itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Pengarah Biro Mencegah Rasuah, Datin Paduka Hajah Suhana binti Haji Sudin, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pemimpin-pemimpin kanan organisasi-organisasi minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Tenaga semasa menghadiri majlis tersebut.
Majlis penerimaan 13 buah syarikat baharu itu diadakan secara maya disebabkan oleh sekatan COVID-19 pada masa ini. – Gambar serahan BSP

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa pakatan itu merupakan komitmen oleh syarikat-syarikat untuk menyokong sebuah industri minyak dan gas yang adil dan jujur di Negara Brunei Darussalam yang bebas daripada ketidakjujuran dalam mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta usaha kerajaan Baginda untuk mempromosi dan memelihara integriti di negara ini.

Ikrar kolektif berkenaan merangkumi sebuah set sebanyak 10 harapan dan standard industri berhubung dengan ketelusan dalam perniagaan, urus tadbir yang baik dan pematuhan kepada prinsip-prinsip yang dipersetujui.

Dengan mempersetujui kepada pakatan berkenaan, industri berkenaan mengetengahkan mesej tiada toleransi bagi mana-mana syarikat yang kurang ketelusan dan integriti tidak akan mempunyai peluang untuk mengendalikan perniagaan dengan mana-mana operator minyak dan gas di Brunei.

Sehingga November 2021, BEIIP merangkumi sebanyak 88 ahli yang terdiri daripada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa Pengerusi Kumpulan Kerja, Kannan Govindasamy dalam kata alu-aluannya mengesahkan semula komitmen tidak berganjak ahli-ahli pakatan kepada standard etika tertinggi termasuk tiada toleransi kepada ketidakjujuran dalam operasi perniagaan industri tenaga.

Beliau berkata bahawa kita harus saling mempercayai di antara satu sama lain dan kepercayaan itu merupakan elemen yang penting bagi perniagaan yang efisien.