Beijing buka semula sekolah, tempat kerja

BEIJING, 5 JUN – Beijing akan melonggarkan sekatan COVID minggu ini secara berperingkat, menurut pegawai bandar hari ini.

Selepas beberapa pelonggaran dilaksanakan baru-baru ini, ibu kota China, yang melaporkan 19 kes jangkitan baharu hari ini, mengumumkan bahawa penduduk bandar itu akan kembali bekerja bermula Isnin dan sekolah akan dibuka semula pada 13 Jun nanti.

China bertegas dengan pendiriannya melaksanakan strategi sifar COVID dengan perintah berkurung, ujian saringan besar-besaran dan tempoh kuarantin yang lama bagi membendung kemunculan kluster baharu.

Strategi itu telah menyekat pergerakan di bandar-bandar utama termasuk Shanghai dan Beijing, bandar metropolis yang mempunyai 22 juta orang penduduk dan tempat muncul semula COVID pada April yang merekodkan kurang 2,000 kes jangkitan.

Bermula Isnin ini, orang ramai akan mula dibenarkan makan di restoran sekiranya mereka diuji negatif dalam tempoh tiga hari kebelakangan, dan pengangkutan awam akan beroperasi seperti biasa, menurut kenyataan kerajaan bandar itu.

Namun dua daerah di ibu kota itu masih di bawah sekatan.

Di Shanghai, sebahagian besar daripada 25 juta penduduknya boleh bergerak bebas sejak Rabu.

Tetapi ratusan ribu masih berdepan sekatan selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada mereka yang dijangkiti. – AFP

Petugas kesihatan membuat ujian saringan ke atas penduduk di Beijing. Beijing akan melonggarkan sekatan COVID minggu ini secara berperingkat.- AFP