Beijing kecam kapal perang AS berlayar di Laut China Selatan

BEIJING, 20 Mei – China hari ini mengecam kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang berlayar berhampiran pulau-pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan sebagai satu pencabulan ke atas kedaulatannya, di tengah-tengah ketegangan memuncak berhubung perdagangan antara kedua-dua buah negara.

Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mengarahkan pasukan udara dan laut untuk memberi amaran USS Preble untuk meninggal tempat itu, kata jurucakap PLA, selepas ia memasuki perairan berhampiran Scarborough Shoal yang dituntut China pada pagi ini.

“Tindakan-tindakan relevan dari pihak AS membahayakan keselamatan kedua-dua kapal dan kakitangan China dan Amerika serta menjejaskan kedaulatan dan keselamatan China,” kata Li Huamin, jurucakap bagi Southern Theatre Command PLA.

“Kami menyatakan bantahan mutlak kami,” tambahnya.

Langkah itu muncul ketika kedua-dua negara mengadaptasi pendirian teguh ke atas isu-isu ekonomi dan diplomatik, terutama persaingan perdagangan dan teknologi canggih.

Awal bulan ini, Presiden AS, Donald Trump menaikkan tarif sekitar AS$200 bilion ke atas barangan China dengan China mengumumkan ia akan meningkatkan tarif berjumlah AS$60 bilion ke atas barang dagangan AS bermula 1 Jun sebagai tindak balas. – AFP