BEIJING, 6 Mei – China berkata kapal perang AS belayar berhampiran pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan tanpa kebenaran hari ini dalam cabaran AS terbaharu terhadap tuntutan wilayah Beijing di rantau itu.
Tentera laut China meminta kapal AS meninggalkan kawasan tersebut selepas mereka memasuki perairan bersebelahan terumbu Gaven dan Chigua di Pulau Spratlys, yang digelar Nansha oleh Beijing, kata kementerian luar negeri.
Tindakan tersebut diambil di samping ketegangan perniagaan apabila Presiden Donald Trump berkata semalam beliau akan menambah tarif ke atas $200 bilion barangan China pada Jumaat disebabkan rundingan berjalan dengan “amat perlahan.”
“Tindakan kapal perang AS itu mencabul kedaulatan China dan menggugat keamanan, keselamatan dan ketenteraman di kawasan laut relevan,” kata jurucakap kementerian Geng Shuang pada satu taklimat akhbar.
“Pihak China menyatakan perasaan tidak puas dan bantahan keras mereka” terhadap operasi tersebut, tambah Geng, mendapati kapal berkenaan telah masuk “tanpa kebenaran.”
Tentera Laut AS sering menjalankan “operasi pelayaran bebas” untuk mencabar tuntutan Beijing di laut berkenaan.
Beijing telah membina pulau tiruan dan pangkalan tentera di laut tersebut, termasuk Spratlys.
China menuntut hampir kesemua laut, walaupun Taiwan, Filipina, Brunei, Malaysia dan Vietnam semuanya menuntut sebahagian daripada kawasan itu.
Geng berkata situasi di laut “sentiasa tidak stabil” disebabkan “usaha bersama” Beijing dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara.
“Di bawah keadaan sedemikian, China menyeru AS supaya menghentikan tindakan provokatif, dan menghormati kedaulatan dan kepentingan keselamatan China serta menghormati usaha negara-negara serantau untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan,” kata beliau. – AFP