Beijing lancar ‘teksi robot’ pertama

BEIJING, 28 NOV – Ia kelihatan seperti kereta biasa tetapi teksi putih yang diletak di tepi jalan tidak mempunyai pemandu dan berkomunikasi dengan pelanggan secara digital untuk mendapatkan arahan dan bayaran.

Beijing pada minggu ini melancarkan teksi automatik pertamanya untuk kegunaan komersial, justeru membawa puluhan ‘teksi robot’ di jalan raya ibu negara China.

Kenderaan itu hanya boleh membawa dua penumpang pada satu masa dan terhad di kawasan selatan bandar Yizhuang.

Seorang pekerja firma teksi juga duduk di depan kereta sekiranya campur tangan kecemasan diperlukan, namun kenderaan itu dipandu sendiri.

Pelancaran itu merupakan satu langkah penting untuk pelan kenderaan tanpa pemandu syarikat teknologi Baidu dan firma baharu Pony.ai, yang diberikan kebenaran untuk melancarkan kereta berkenaan pada Khamis.

Pemandu keselamatan teksi automatik Apollo Go duduk tanpa menyentuh stereng ketika kenderaan dipandu secara automatik di jalan Yizhuang, daerah Daxing di selatan Beijing pada 27 November 2021. – AFP

Namun ia dijangka mengambil masa beberapa tahun sebelum teksi berkenaan beroperasi sepenuhnya tanpa campur tangan manusia, disebabkan peraturan dan syarat keselamatan.

Pencipta berharap pengguna China, yang telah menggunakan sistem e-dagang, bayaran dalam talian dan penyelesaian digital lain – akan membiasakan diri dengan perjalanan dalam kereta tanpa pemandu.

Pengasas Pony.ai Peng Jun berkata kunci kepada pembangunan industri tersebut adalah ‘dasar, teknologi dan penerimaan orang awam.’

Lebih daripada 500,000 perjalanan telah pun dilakukan dalam teksi robot Pony.ai semasa peringkat ujian sebelum ini, kata firma itu.

Penumpang yang menggunakan kereta ‘Apollo Go’ Baidu mesti memuat turun aplikasi dipanggil ‘Luobo kuaipao’ – dan boleh memanggil teksi di salah satu daripada 600 tempat mengambil dan menurunkan penumpang. – AFP