Beijing mulakan 2017 dengan diselubungi jerebu

BEIJING, 1 Jan – Penduduk Beijing memulakan pagi Tahun Baru mereka dengan diselubungi asbut tebal, dengan kandungan partikel-partikel berbahaya yang 20 kali lebih tinggi daripada standard antarabangsa.

Selepas satu tempoh panjang mengalami pencemaran udara pada Disember, ibu negara China itu sekali lagi diselubungi dengan jerebu yang menusuk hidung serta mengehadkan jarak penglihatan kepada beberapa ratus meter sahaja.

Papan-papan tanda berkilat di puncak menara-menara pencakar langit seolah-olah terapung-apung dalam jerebu, manakala sebilangan pelancong memakai topeng pernafasan.

Tahap 2.5PM – partikel mikroskopik yang berbahaya kepada kesihatan manusia – melebihi 500 pagi ini, menurut unjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS), jauh melebihi had maksimum 25 yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pendedahan selama 24 jam.

Kemarahan orang ramai terhadap keadaan itu diluahkan secara meluas melalui media-media sosial hari ini.

Seorang lelaki China memakai penutup hidung berjalan melintasi penganut-penganut yang sedang berdoa pada hari pertama tahun 2017 di Kuil Yeonghegong Lama, di Beijing. – AP
Seorang lelaki China memakai penutup hidung berjalan melintasi penganut-penganut yang sedang berdoa pada hari pertama tahun 2017 di Kuil Yeonghegong Lama, di Beijing. – AP

“Kenapa mereka tidak mencetuskan amaran merah? Mungkinkah kerana ia memberi satu petanda buruk bagi hari pertama di tahun baru?” tulis seorang pelayar pada laman sesawang Weibo microblogging.

“Pencemaran kini telah mempunyai hukou (permit penduduknya” di Beijing. Ia adalah buatan. Ia tidak akan berlalu lagi,” kata seorang lagi pelayar.

Kebanyakan pelepasan gas rumah hijau China datangnya daripada pembakaran arang batu untuk tenaga elekterik dan pemanasan, yang mencetuskan permintaan tinggi pada musim sejuk dan ia merupakan punca utama jerebu. – AFP