Beijing namakan pulau dipertikai

BEIJING, 21 APRIL – China hari ini mempertahankan tindakannya memberi nama kepada 80 buah pulau dan ciri geografi lain di Laut China Selatan (LCS) yang dilihat bakal menimbulkan kemarahan kepada jiran-jirannya ketika negara itu menegaskan tuntutan wilayahnya.

Pengumuman bersama penamaan itu pada Ahad lalu oleh Kementerian Sumber Asli dan Kementerian Hal Ehwal Sivil dibuat sehari selepas China menubuhkan daerah pentadbiran baharu untuk rangkaian pulau Spratly dan Paracel yang menjadi pertikaian.

Notis itu menyenaraikan nama dan koordinat terhadap 80 pulau, terumbu, dasar laut, beting dan rabung, di mana 55 daripadanya berada di dalam laut. Negara itu pada kali terakhir mengeluarkan senarai sedemikian pada tahun 1983 apabila menamakan 287 ciri geografi di sepanjang laluan air yang dipertikaikan.

Beijing berulang kali menegaskan kedaulatannya di laut tersebut walaupun terdapat tuntutan bertindih oleh Vietnam, Taiwan, Malaysia dan negara-negara lain.

Dalam beberapa tahun ini, Beijing meningkatkan tuntutan wilayahnya di Laut China Selatan, membangunkan pulau buatan dan kehadiran pasukan tentera besar, yang menjadi punca kepada ketegangan geopolitik. – AFP