Beijing sambut salji pasca cuti

BEIJING, 12 Feb – Salji turun di Beijing awal hari ini sekali gus mengurangkan tahap penglihatan dan menyebabkan para pelancong berdepan ketidakselesaan selepas kembali pulang daripada bercuti seminggu.

Salji tersebut melanda sebahagian besar bandar tersebut dengan kadar maksima 3 mm di Daerah Yanqing dan purata 0.4 mm di seluruh bandar setakat tengah hari ini, menurut stesen meteorologi Beijing. Stesen tersebut juga mengeluarkan amaran bagi jalan-jalan raya yang berais.

Pengangkutan Awam Beijing telah melancarkan pelan kecemasan dengan menggantung tiga laluan bas dan menyediakan tambahan kapasiti berhampiran stesen landasan kereta api bagi memastikan kelancaran trafik semasa festival musim bunga tatkala cuti Tahun Baharu Cina baharu sahaja selesai.

Beberapa bahagian lebuh raya ditutup sementara, menurut Biro Pengurusan Trafik Beijing. Ketua peramal kaji cuaca Beijing, Ma Xiaohui berkata salji itu akan berhenti pada malam ini, tetapi salji lebat akan melanda bandar itu pada Khamis ini.

Salji akan melanda bahagian utara, barat laut dan timur laut China dalam tiga hari ini, menurut Pusat Meteorologikal Kebangsaan (NMC). Pusat itu memberi amaran bahawa keadaan cuaca itu boleh menjejaskan pengangkutan, terutama sekali pada musim Festival Musim Bunga ini. – Xinhua