Beijing sekat perjalanan

BEIJING, 18 JUN – Sekatan perjalanan dikenakan terhadap hampir setengah juta penduduk dekat Beijing hari ini ketika pihak berkuasa berusaha mengekang penularan baharu koronavirus menerusi ujian dan pengesanan besar-besaran serta sekatan pergerakan (lockdown) di sebahagian bandar China.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), 21 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu di Beijing, membawa jumlahnya kepada 158 kes sejak kluster baharu itu dikenal pasti minggu lalu selepas berbulan-bulan tidak ada transmisi tempatan.

Satu lagi kes juga dilaporkan di bandar Tianjin dan dua di wilayah Hebei, sekali gus mendorong sekatan perjalanan dikenakan di Anxin yang mempunyai kira-kira 460,000 penduduk selain melarang kebanyakan lalu lintas keluar masuk ke kawasan itu.

Kenderaan bagi perkhidmatan penting dibenarkan masuk ke Anxin, kira-kira 150km dari Beijing, sementara kereta-kereta swasta dan kerajaan boleh memasuki dan meninggalkan bandar itu jika mereka mendapat kebenaran, kata media kerajaan.

Sehingga kini, Beijing sudah pun mengumpulkan kira-kira 400,000 sampel sehari untuk diuji berikutan bimbang mungkin berlaku gelombang kedua COVID-19 di China yang berjaya mengawal wabak itu sejak ia muncul di bandar tengah Wuhan lewat tahun lalu.

Seorang pembantu kedai, Pang yang berusia 25 tahun memberitahu AFP, dia beratur di Stadium Pekerja di tengah Beijing untuk diuji swab dan tidak kisah untuk menunggu lama kerana ia adalah demi kebaikan semua dan kepentingan untuk masyarakat.

Jangkitan terbaharu bermula di pasar borong Xinfadi, Beijing yang membekalkan lebih 70 peratus pengeluaran produk segar di bandar itu.

Kira-kira 30 kawasan kediaman penduduk dikenakan sekatan pergerakan.

Ketua pakar epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, berkata jumlah tinggi jangkitan telah menular dalam kalangan peniaga pasar yang menjual makanan laut, daging dan kambing biri-biri. – AFP